Sekilas
- Gadis Filipina bernama Giya yang sedang berkenalan dengan anak sulung Ozlynn Waty, Ariq, baru sahaja memeluk Islam sebelum Ramadan lalu dan kini sedang mendalami ilmu agama.
- Keputusan Giya memeluk Islam adalah atas kehendak sendiri selepas membaca al-Quran dan melihat ramai kenalan sekelilingnya turut memeluk agama tersebut.
- Ozlynn menjelaskan hubungan Ariq dan Giya masih di tahap berkawan dan mereka kini fokus pada pembelajaran masing-masing sambil saling belajar tentang batas dalam Islam.
Pelakon, Ozlynn Waty memaklumkan gadis yang sedang berkenalan dengan anak sulungnya, Ariq yang dikenali sebagai Giya baru sahaja memeluk agama Islam sebelum Ramadan yang lalu.
Menurut pemilik nama Rozlinawaty Ismail, Giya yang merupakan gadis berasal dadi Filipina kini sedang mendalami ilmu agama dan sering menunjukkan minat untuk mengetahui tentang Islam.
“Dia baru sahaja memeluk Islam sebelum bulan puasa, jadi kami sedang menyantuni dia. Kami bawa dia berpuasa bersama, berbuka dan menyambut Hari Raya.
“Dia juga seorang yang baik, cuma sekarang dia dalam proses dan kami juga membantunya mengajar tentang batas-batas, apa yang boleh dan apa yang tak boleh,” katanya kepada Gempak.
Ozlyn berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Libang Libu bertempat di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, isteri kepada pelawak Johan ini menegaskan bahawa keputusan untuk memeluk Islam merupakan pilihan Giya sendiri.
“Saya juga selalu tekankan kepada dia masuk Islam bukan sebab lain tapi sebab diri sendiri yang nak.
“Ya, dia cakap dia masuk Islam sebab membaca al-Quran dan kenalan di sekelilingnya pun sudah ramai masuk Islam, jadi dia rasa Islam agama yang kembali kepada fitrah.
“Memang dia sendiri yang nak, bukan sebab anak saya atau apa. Dia banyak bertanya, kadang-kala dia akan telefon dan bertanya pada Johan tentang apa yang dia tak tahu,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai status hubungan Ariq dan Goya, Ozlynn memaklumkan bahawa ketika ini mereka masih berkawan dan sedang menumpukan perhatian terhadap pembelajaran.
“Mereka tidak ke arah lebih mendalam, hanya berkawan. Sebagai seorang ibu, saya pun tidak pernah menghakimi pilihan anak sebab dia yang akan menentukan masa depan dia sendiri.
“Dia nak berkawan tak mengapa, cuma saya selalu berpesan pada Ariq, jaga diri dan batas.
“Saya kata pada anak, ‘Dia baru masuk Islam, kau dalam Islam bapa kau ajar mengaji dan al-Quran tapi kalau kau tak buat, maknanya aku dengan bapa kau ialah ibu bapa yang gagal.’
“Alhamdulillah, dia juga anak yang mendengar kata. Tapi masing-masing masih belajar lagi, jadi biarlah mereka fokus pada pembelajaran masing-masing.
Terdahulu, sekitar Mac lalu Giya memaklumkan dirinya sudah pun bergelar mualaf dan mengakui berasa seronok menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim.
Sebelum ini, hubungan Giya dan Ariq sering mendapat perhatian ramai selepas mereka saling berkongsi hantaran video secara terbuka di platform media sosial.