Bintang muda yang mula dikenali menerusi program realiti Gimme The Mic 2024, Raes Arifin, kini melangkah rasmi ke dunia muzik dengan pelancaran single debut berjudul Jalan Cinta.
Lagu yang diterbitkan di bawah naungan Shiha Zikir Empire (SZE) dengan kerjasama Sony Music Malaysia itu menjadi tanda permulaan perjalanan seni penyanyi berjiwa halus ini.
Advertisement
Bagi Raes, karya tersebut bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi naskhah yang sarat makna peribadi.
“Saya sangat bersyukur kerana lagu ini menjadi titik mula untuk saya membina nama dan membuktikan kecintaan saya terhadap muzik. Bagi saya, nyanyian adalah alat untuk saya bangkit daripada pelbagai liku hidup,” katanya penuh emosi.
Jalan Cinta mengisahkan seorang pencinta yang memberi segalanya tetapi takdir membawa haluan berbeza. Biarpun cinta tidak kesampaian, masih ada pengharapan agar semuanya dapat bersatu kembali. Menariknya, bagi Raes, cinta yang dimaksudkan bukan hanya pada insan, tetapi juga pada seni dan suara yang pernah menyelamatkannya daripada tekanan dan gangguan emosi.
Shiha Zikir, selaku penerbit dan mentor kepada Raes, memainkan peranan besar dalam pemilihan lagu ini. Menurut Raes, proses mencari karya yang sesuai bukan mudah.
“Shiha dan pasukan SZE sangat teliti. Hampir berpuluh lagu ditapis sebelum akhirnya Jalan Cinta dipilih. Beliau memang serius bila melibatkan soal muzik dan memastikan saya benar-benar bersedia untuk pelancaran pertama ini,” ujarnya.
Proses rakaman pula berjalan lancar hanya mengambil masa sekitar 40 minit hingga sejam untuk disiapkan. Raes turut menzahirkan penghargaan kepada Shiha dan seluruh pasukan SZE atas bimbingan berterusan sejak penyertaannya dalam pencarian SZ Talent Discover hingga ke pelancaran rasmi single sulung ini.
“Segala usaha mereka menjadikan saya penyanyi yang lebih matang dan yakin. Saya berterima kasih kepada Shiha yang tidak pernah berhenti memberi peluang dan kepercayaan,” tambahnya.
Raes menutup bicara dengan harapan agar Jalan Cinta dapat menyentuh hati pendengar dan menjadi penghubung antara dirinya dengan para peminat setianya, sunRaes.
“Moga lagu ini menemani anda yang sedang melalui jalan cinta masing-masing,” katanya penuh makna.