Sekilas
- Video tular menunjukkan sepasang warga emas sabar menunggu anak mereka di tepi jalan sambil membawa bekalan makanan kegemaran anaknya.
- Anaknya yang juga pemandu lori singgah sekejap di Perlis untuk bertemu ibu bapanya sebelum pulang ke Perak, merakam detik pertemuan ringkas itu.
- Perkongsian tersebut mendapat lebih 400,000 tontonan dan hampir 3,000 komen, dengan netizen mendoakan kesihatan warga emas itu dan keselamatan anaknya.
Sepotong video merakamkan momen sepasang warga emas yang sedang sabar menantikan kehadiran anaknya sambil menunggu di bahagian tepi jalan menjadi tular di platform TikTok.
Lebih menyentuh hati lagi apabila warga emas itu dilihat menunggu sambil membawa bekalan makanan kegemaran anaknya iaitu sambal ikan bilis dan gulai ikan.
Menerusi video dimuat naik oleh anaknya yang juga merupakan pemandu lori, jelas kelihatan detik pertemuan ringkas di bahu jalan bersama kedua ibu bapanya selepas menurunkan barangan di Perlis sebelum pulang ke Perak itu ternyata menyentuh hati netizen.
“Siap turun barang dekat Perlis, nak hala balik Perak, singgat sat jumpa mak ayah dekat tepi jalan pun jadilah lepas rindu.
“Sedih tengok depa tunggu tepi jalan macam ni dengan naik motornya, tapi malas nak keluarkan air mata.
“Saya dengan mak ni kalau keluarkan air mata, sama macam dalam drama. Baik tahan sahaja.
“Mak ni tak payah cakap nak makan apa, dia tahu dah saya suka makan apa. Dia terus masak makanan yang saya suka, siapkan bekal untuk saya. Naikmat dapat makan masakan mak,” coretnya.
Sementara itu, di ruangan komen rata-rata netizen mendoakan agar warga emas itu dikurniakan kesihatan yang baik dan juga berharap agar anaknya itu sentiasa berada dalam lindungan Tuhan.
Perkongsian lelaki itu menerima lebih 400,000 tontonan dan hampir 3000 komen.
@abgujang yg ada mak ayh lg ada peluang jmp lah depa.. #rakantembus ♬ original sound - Fasha_Ariana_Official
Kredit video: abg ujang