Sekilas
- Pelakon Nabila Huda disahkan mengalami slip disc pada bahagian L5 selepas mengalami sakit pinggang yang kembali menyerang secara tiba-tiba.
- Walaupun doktor menawarkan cuti sakit, Nabila memilih untuk terus menjalani empat persembahan teater yang telah dijadualkan tanpa gangguan.
- Selepas selesai pementasan, Nabila akan menjalani rawatan fisioterapi dan memberi jaminan kepada peminat bahawa dia masih mampu mengawal kesakitannya.
Pelakon Nabila Huda mendedahkan dirinya kini berdepan masalah kesihatan apabila disahkan mengalami slip disc pada bahagian L5 selepas menjalani pemeriksaan perubatan baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, Nabila atau nama sebenarnya, Nabila Huda Suhaimi, 40 memaklumlan sebelum ini dia pernah mengalami masalah sakit pinggang namun keadaan tersebut tidak berulang untuk tempoh yang lama sebelum kembali menyerang dua hari lalu.
“Dulu Abil pernah cakap ada problem sakit pinggang, tapi dah lama dia tak buat perangai. Nak dijadikan cerita dua hari lepas bangun tidur, tiba-tiba sakit tu ‘triggered’ balik.
“Kali ni sakit dia lain macam sampai susah gila nak berdiri,” katanya.
Situasi itu membuatkan Nabila panik memandangkan dia kini sedang membuat persiapan menjelang pementasan Teater Muzikal Masmoona yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Disebabkan itu, Nabila membuat keputusan untuk menjalani pemeriksaan di hospital bagi mengetahui tahap sebenar kesakitannya.
“Semalam sebelum pergi rehearsal, decide pergi hospital nak buat MRI dulu konon nak sedapkan hati je. Sekali didiagnos dengan slipped disc L5,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelakon filem Mama itu tetap memilih untuk meneruskan komitmen kerja walaupun doktor menawarkan cuti sakit (MC).
“Paling kelakar bila doktor tanya nak MC tak? Terus kami tergelak sebab kerja kami ni MC tak ada dalam kamus.
“Gila kau nak MC. Show esok kot, orang dah beli tiket. Siapa nak ganti watak Malam? No way” katanya.
Anak kepada penyanyi legenda Amy Search itu turut memberitahu dia akan menjalani rawatan fisioterapi selepas selesai menjayakan empat persembahan teater yang dijadualkan.
“Saya cakap dengan doktor. Bagi saya peluang habiskan empat show ni dulu, lepas tu janji buat physio. Show must go on!” katanya.
Dalam pada itu, Nabila memberi jaminan kepada peminat agar tidak bimbang dengan keadaannya dan menegaskan dia masih mampu mengawal kesakitan tersebut.
“Jangan risau semua, all good. I got this,” katanya.
Sumber: Instagram