Sekilas
- MonoloQue mengumumkan pelancaran semula lagu Pujaan Hatiku sebagai single terbaru dengan susunan muzik minimalis dan elemen gothic romantik era 80-an.
- Lagu asalnya pernah menjadi runut bunyi filem Kami Histeria pada 2013 dan kini dihidupkan kembali dengan iringan gitar akustik, piano, dan synthesizer.
- Lirik Pujaan Hatiku mengekalkan kekuatan metafora yang terbuka kepada pelbagai tafsiran, menjadikan lagu ini relevan dan segar untuk pendengar masa kini.
Penyanyi dan komposer, MonoloQue kembali mencuri perhatian apabila mengumumkan pelancaran semula lagu Pujaan Hatiku sebagai single terbaharu.
Menariknya, lagu tersebut bukan karya baharu sebaliknya pernah menjadi runut bunyi filem Kami Histeria arahan Shamyl Othman sekitar tahun 2013 yang sebelum ini didendangkan kumpulan Histeria.
Ditulis dan diterbitkan sendiri oleh MonoloQue atau LoQue, lagu tersebut disimpan sekian lama sebelum dihidupkan kembali dalam versi baharu yang lebih segar.
Kali ini, Pujaan Hatiku tampil dengan susunan muzik yang berbeza apabila menggunakan pendekatan minimalis tanpa elemen dram.
Sebaliknya, lagu tersebut hanya diiringi petikan gitar akustik, piano dan synthesizer sekali gus memberikan suasana lebih ‘telanjang’ dan mendalam.
Pendekatan tersebut bukan sekadar pilihan estetik, malah menjadi satu pernyataan artistik bagi membiarkan lagu itu bernafas dalam keheningan yang lebih tulen.
Hasilnya, karya berkenaan menampilkan nuansa gelap dan suram dengan sentuhan elemen gothic romantik era 80-an yang memberi aura tersendiri.
Dari segi lirik, Pujaan Hatiku turut mengekalkan kekuatan metafora yang terbuka kepada pelbagai tafsiran pendengar.
Liriknya yang bersifat kiasan membolehkan lagu tersebut difahami dalam pelbagai sudut, sama ada secara tersurat mahupun tersirat bergantung kepada pengalaman individu.
Pendekatan penulisan itu juga mengingatkan kepada karya ikonik Mati Hidup Kembali nyanyian Butterfingers yang sarat dengan makna tersirat.
Melalui versi terbaharu ini, MonoloQue membawa Pujaan Hatiku dalam acuan muzik rakyat yang lebih epik dari segi rasa, namun sederhana dari sudut bunyi.
Karya tersebut dilihat sebagai satu entiti baharu yang berdiri sendiri tanpa menenggelamkan versi asalnya.
Sekali gus membuktikan bahawa sesebuah lagu yang baik tidak pernah lapuk, sebaliknya sentiasa mampu diberi nafas baharu mengikut zaman.