Sekilas
- Pereka fesyen Hatta Dolmat menyuarakan sokongan dan doa buat Uqasha Senrose yang sedang menghadapi kemelut rumah tangga bersama suaminya, Kamal Adli.
- Hatta berharap Uqasha dilimpahi kasih sayang, kebahagiaan dan kekuatan dalam menghadapi ujian tersebut melalui hantaran di media sosial.
- Warganet turut mendoakan agar urusan pasangan itu dipermudahkan dan menyeru orang ramai agar tidak membuat kesimpulan terburu-buru mengenai situasi sebenar.
Pereka fesyen, Hatta Dolmat tampil menyuarakan sokongan terbuka terhadap Uqasha Senrose susulan kemelut rumah tangga yang sedang dihadapinya bersama suami, Kamal Adli.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Hatta menitipkan doa agar Uqasha terus dilimpahi kasih sayang, kebahagiaan serta kekuatan dalam menghadapi ujian yang sedang berlaku.
“Semoga Allah baluti Uqasha dengan kasih sayang dan kebahagiaan. Hatta sayang Usha, keluarga Usha sayang Usha. Ramai yang sayang Usha.
“Yang mengalami lebih memahami, yang mengetahui hanyalah Yang Maha Esa. Kami semua hanya mampu doakan kebaikan, rahmat dan kasih sayang. Insya-Allah,” tulisnya.

Perkongsian tersebut menerima perhatian ramai dan dihujani komen daripada warganet yang rata-ratanya mendoakan agar urusan pasangan itu dipermudahkan.
Ada juga netizen yang menyeru orang ramai agar tidak membuat kesimpulan terburu-buru memandangkan hanya kedua-dua pihak yang benar-benar mengetahui perkara sebenar.
“Hanya mereka berdua yang tahu apa yang sebenarnya berlaku. Semoga dipermudahkan urusan Usha,” tulis seorang pengguna media sosial.
Dalam pada itu, sebahagian warganet turut menyatakan harapan agar kedua-dua pihak, termasuk Kamal Adli, diberikan ketenangan dan kekuatan untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku secara baik.
Terdahulu, isu rumah tangga Uqasha Senrose dan Kamal Adli menjadi perhatian umum selepas beberapa pendedahan dibuat di mahkamah, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dan rakan selebriti.