Sekilas
- Datuk Aaron Aziz berkongsi pengalaman hampir tidak mendapat kelulusan visa haji seperti Datuk Yusry, namun akhirnya visa beliau diluluskan selepas menunggu lama.
- Aaron menyatakan simpati terhadap Yusry yang tidak dapat menunaikan haji bersama isteri tahun ini dan percaya ada hikmah di sebalik kejadian tersebut.
- Lisa Surihani pula reda dengan keputusan tidak lulus visa haji suaminya dan menerima situasi itu sebagai ketentuan Ilahi.
Pelakon, Datuk Aaron Aziz mengakui pernah berdepan situasi hampir sama seperti aktor, Datuk Yusry apabila visa hajinya hampir tidak diluluskan.
Ujarnya, dia sebenarnya sudah reda apabila berhadapan dengan situasi berkenaan dan sangat memahami apa yang dirasakan oleh Yusry.
"Saya memahami apa yang Yusry rasakan. Sebab ketika kami mohon haji, visa isteri saya yang lulus dahulu. Di saat-saat akhir visa saya hampir tak lulus. Saya dah reda.
"Saya kata kepada isteri, 'tak mengapa awak sahaja yang pergi tanpa saya, tak ada rezeki Allah tak izinkan," katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun, selepas menunggu agak lama, visa tersebut akhirnya diluluskan dan Aaron percaya perkara itu berlaku atas kurniaan serta izin Allah SWT.
Aaron berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Karva Travel & Tours yang berlangsung di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam masa sama, Aaron turut meluahkan rasa simpati terhadap apa yang dilalui Yusry yang terpaksa menerima hakikat tidak dapat menunaikan ibadah haji bersama isteri tahun ini.
“Saya turut bersimpati apa yang berlaku kepada Yusry. Suami mana yang tak nak menunaikan ibadah haji bersama isterinya tetapi kita percaya pasti ada hikmah di sebalik apa yang terjadi.
“Mungkin anak-anak perlu sosok ibu atau bapa bersama mereka,” ujarnya.
Menurut Aaron lagi, sebagai seorang suami, sudah tentu dia sendiri berharap dapat melakukan ibadah haji bersama pasangan tercinta.
“Sebagai suami kita mesti mahu bersama isteri. Kalau saya pun, memang itu yang akan saya doakan. Jika itu kali terakhir kami bersama, saya mahu biarlah kami lakukan perkara yang baik seperti menunaikan haji. Saya pasti apa yang dilalui Yusry semestinya sedih,” katanya lagi.
Terdahulu, Lisa Surihani berkongsi dirinya reda apabila rayuan permohonan visa haji suaminya, Yusry Abdul Halim, tidak diluluskan pada tahun ini.
Walaupun pada awalnya mereka merancang untuk menunaikan ibadah itu bersama-sama, Lisa memilih untuk melihat situasi tersebut dari sudut positif dan menerima ia sebagai ketentuan Ilahi.