Sekilas
- Mawi tiada halangan untuk bekerjasama dengan penyanyi baharu seperti Ehmad Hadie Elfardie jika lagu yang ditawarkan sesuai dengan vokal mereka.
- Dia sudah mengetahui tentang kehadiran Hadie sebagai pendatang baharu dalam industri melalui anaknya yang menonton program Talk To My Manager.
- Mawi menasihatkan bakat baharu supaya ingat tujuan asal masuk industri dan menekankan pentingnya bakat dan populariti berjalan seiring dalam dunia seni.
Penyanyi, Mawi tidak mempunyai sebarang halangan untuk bekerjasama dengan penyanyi baharu.
Malah Mawi menyambut baik hasrat pendatang baharu, Ehmad Hadie Elfardie yang sebelum ini menyatakan keterbukaan untuk berduet dengannya selagi karya yang ditawarkan sesuai dengan vokal mereka berdua.
"Tiada masalah pun, jika sesuai boleh sahaja. Tengok kepada barang iaitu lagu itu sendiri. Jika sesuai untuk kami berduet tidak jadi masalah,” ujarnya.
Mawi berkata demikian ketika ditemui di konsert minggu keempat Gegar Vaganza 12 (GV12) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada Ahad.
Dalam pada itu, ditanya sama ada dia tahu mengenai kewujudan anak kepada penyanyi Ina Naim itu sebagai pendatang baharu dalam industri, Mawi berkata sudah mengetahui tentang perkembangan tersebut.
"Saya tahu kewujudan dia. Anak saya yang tonton program Talk To My Manager cerita dengan saya peserta yang ada dalam itu, antaranya Hadie,” ulasnya.
Sementara itu, pelantun Aduh Saleha ini turut menitipkan pesanan dan panduan buat bakat-bakat baharu yang mula mencipta nama dalam dunia seni.
"Bakat dalam industri hiburan datang dan pergi. Bagus juga ada program yang melahirkan bakat-bakat baharu sebagai pelapis industri.
"Nasihat saya untuk pendatang baharu kena ingat tujuan asal masuk industri. Sama ada mencari glamour semata-mata atau sebaliknya.
"Macam penyanyi, tanggungjawab juga untuk mereka kerana lagu yang disampaikan ibarat satu risalah. Penyanyi adalah penyampai supaya mesej lagu sampai ke hati pendengar.
"Selain itu, popular juga perlu ada. Kalau tiada populariti siapa yang nak dengar lagu kita. Bakat dan populariti kena seiring tetapi perlu juga bergantung kepada rezeki,” titipnya.