Sekilas
- Datuk M Nasir akan mengadakan konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 pada 4 Julai di Unifi Arena Kuala Lumpur sempena ulang tahunnya yang ke-68.
- Konsert ini menampilkan kolaborasi istimewa dengan komposer dan penyanyi legenda Indonesia, Melly Goeslaw, sebagai artis jemputan.
- Jualan tiket bermula 24 April dengan harga antara RM238 hingga RM588 melalui platform www.ticket2u.com.my.
Penyanyi tersohor negara, Datuk M Nasir kini meneruskan langkah dengan penganjuran konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 selepas kejayaan tiga konsert menerusi jenama Cipta termasuk Cipta Raya yang mencetus fenomena luar biasa pada 2024 dan 2025.
Masih di bawah penganjur sama, Icon Entertainment, konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 bakal diadakan pada ulang tahun kelahiran maestro muzik tersohor itu yang ke-68 pada 4 Julai depan di Unifi Arena Kuala Lumpur.
Menariknya, pengumuman konsert berkenaan dibuat menerusi satu sidang media khas di dalam Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika perjalanan dari Stesen Kuala Lumpur menuju Stesen Ipoh, pada Khamis.
Pada acara sidang media dinamakan sebagai Expres Rakyat (Nasi Ganja) Tok Nasir Ke Ipoh itu, penganjur turut membuat kejutan apabila mengumumkan komposer dan penyanyi legenda Indonesia, Melly Goeslaw sebagai penyanyi undangan pada malam konsert nanti.
Penyanyi digelar 'The Queen of Soundtracks' itu turut hadir memeriahkan sidang media yang diadakan sambil beliau sempat menyanyikan serangkap lagu ciptaan M Nasir yang dipopular kumpulan Search, iaitu Fantasia Bulan Madu dan lagunya sendiri, Butterfly.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata penyatuan komposer hebat dari dua negara serumpun ini bakal menjadi pengalaman berharga buat peminat.
“Salah seorang artis jemputan ialah seorang pencipta lagu tersohor di Indonesia dan kita satukan bersama M Nasir di satu pentas konsert.
“M Nasir tidak pernah disatukan baik secara ‘on air’ atau ‘off air’ bersama Melly. Jadi inilah keistimewaan Cipta 4 apabila menghimpunkan 2dua komposer hebat rantau ini.
“M Nasir mempunyai kira-kira 3,000 lagu dan Melly 700 lagu. Jadi sebagai promoter kita bukan sekadar memilih tarikh dan lagu, tetapi kita memastikan persembahan ini mencapai standard tersendiri,” katanya.
Pada masa sama, M Nasir berkata, segala perancangan sudah dibuat bersama Iman dalam memastikan konsert solo berskala mega itu berjalan lancar.
“Segala konsep dan apa yang akan ada pada malam konsert nanti semua sudah diperhalusi bersama Iman. Selepas kami berbincang, saya harap semuanya berjalan lancar.
“Kita duduk dalam masyarakat yang obsesi kepada keaslian jadi saya harap yang asli ini seperti siri Konsert Cipta berjaya dan menjadi kesukaan ramai,” katanya.
Pada konsert bertemakan Batik Injection itu, M Nasir dijangka mempersembahkan antara 30 hingga 40 lagu termasuk medley menerusi konsert berkenaan.
Jualan tiket untuk setiap kategori yang bermula daridapa harga RM238 hingga RM588 akan dibuka pada 24 April ini menerusi platform www.ticket2u.com.my.