Sekilas
- TMJ dedahkan Cristiano Ronaldo mahu beraksi di Stadium Sultan Ibrahim jika Al Nassr buat jelajah di Asia, sebagai penghargaan kepada JDT.
- TMJ tekankan kejayaan JDT hasil perancangan rapi dan sokongan terhadap bakat tempatan, bukan datang sekelip mata.
- TMJ juga bangga dengan perkembangan sukan di Johor, termasuk kejayaan futsal dan JDT dalam masa singkat.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail membuat pendedahan mengenai bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo yang meyuarakan keinginan untuk beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Menerusi satu program wawancara bersama penyokong JDT, TMJ menyifatkan perkara itu sebagai satu bentuk penghargaan terhadap gelanggang rasmi bagi kelab JDT.
“JDT ini sangat unik, sampai saya terima mesej daripada Cristiano Ronaldo. Dia cakap kalau Al Nassr ada jelajah di Asia, dan kalau bermain di Malaysia, dia tak nak main tempat lain, dia nak main dekat Johor sahaja.
"Itu adalah satu pengiktirafan yang positif dan tinggi di mana orang puji stadium yang anda ada,” titah baginda.
Dalam pada itu, TMJ yang juga pemilik bagi kelab bola sepak JDT menegaskan bahawa kejayaan kelab yang terkenal dengan jolokan Harimau Selatan itu bukan hadir sekelip mata.
Sebaliknyq, ia merupakan hasil perancangan rapi serta keyakinan beberapa pihak terhadap bakat tempatan.
"Benda itu bagus dan banyak lagi yang akan saya bawa, bukan dalam bola sepak sahaja, tetapi untuk sukan-sukan lain," titahnya.
Sementara itu, baginda turut meluahkan rasa syukur selepas beberapa usaha untuk membangunkan sukan di negeri Johor menampakkan hasil memberangsangkan.
“(Sebelum ini) Johor tak pernah ada futsal. Tahun pertama tiada apa-apa dan tahun kedua jadi juara.
“Begitu juga dengan JDT. JDT, tahun pertama kalah, tahun kedua juara. Alhamdulillah, apa yang saya buat ini ada hasilnya,” titahnya.
Sumber: YouTube JDTTV