Usahawan dan pempengaruh terkenal, Ridzokumura meluahkan rasa kecewa selepas menerima berita mengenai kubur arwah isterinya, Akiko yang didakwa telah dikhianati oleh individu tidak bertanggungjawab.
Menerusi hantaran di Instagram, Ridzokumura menerima berita itu daripada penjaga kubur yang menjaga kawasan perkuburan tersebut.
“Pagi ini, hati saya diuji dengan satu khabar yang sangat menyayat jiwa. Penjaga kubur menghubungi saya dan mengirimkan gambar, memaklumkan bahawa kubur arwah isteri saya, arwah Akiko, telah dikhianati.
“Ada tangan-tangan yang tidak berperikemanusiaan menabur garam kasar di situ, seolah-olah mahu mematikan kesuburan yang Allah kurniakan,” katanya.
Tambah Ridzokumura , dia sendiri tidak menyangka ada pihak yang sanggup melakukan perbuatan sedemikian lebih-lebih lafi terhadap orang yang telah pergi selamanya.
“Saya tidak tahu apa salahnya kubur itu, apa dosanya rumput-rumput yang tumbuh hijau dan subur. Jika kuburnya indah, itu bukan kerana manusia, tetapi kerana rahmat Allah n amun mengapa ada hati yang begitu busuk, sanggup menyimpan dendam hingga ke tanah persemadian orang yang telah tiada?
“Ya Allah… saya sendiri tidak tahu doa apa yang patut saya panjatkan. Maka saya serahkan segalanya kepada-Mu. Engkau lebih mengetahui niat mereka, Engkau lebih adil dalam setiap pembalasan," ujarnya lagi.
“Jika mereka tersasar, berilah mereka petunjuk. Jika mereka zalim, maka cukuplah keadilan-Mu sebagai jawapan,” katanya.
Dalam masa sama, Ridzokumura menitipkan doa buat arwah isterinya agar sentiasa dilimpahi rahmat dan dilindungi daripada segala niat buruk manusia.
Terdahulu, Akiko disahkan meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Subang Jaya, Selangor pada 28 Februari.
Untuk rekod, Ridzuan dan Akiko telah mendirikan rumah tangga pada Februari 2009.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Sky Taizo Okumura.