Miss Universe Malaysia 2025, Chloe Lim bakal memperagakan kostum nasional bertemakan warisan Bajau Sama Sabah ‘The Majestic of Anjung Serimpak’ di pentas Miss Universe ke-74 yang dijadual berlangsung di Thailand pada November depan.
‘The Majestic of Anjung Serimpak’ mengangkat keindahan sejarah dan kehalusan budaya komuniti Bajau Sama di Sabah, menggambarkan pertalian erat etnik tersebut dengan lautan serta warisan mereka sebagai pelaut yang mahir.
Advertisement
Kostum ini menampilkan Serimpak tembaga berbentuk kapal layar, dipadankan dengan kain Selisir yang disulam tangan oleh artisan Bajau Sama. Elemen tradisional seperti tali pinggang Siupu dan aksesori Duang Sama melengkapkan penampilan keseluruhan.
Chloe ketika ditemui meluahkan rasa bangga dapat membawa rekaan berakar pada budaya tempatan ke pentas antarabangsa.
“Saya amat berbesar hati dapat memakai kostum ini yang benar-benar mencerminkan akar budaya rakyat Malaysia serta daya kreativiti dan semangat kemajmukan negara. Ia mengingatkan kita agar sentiasa menghargai keaslian diri dan kepelbagaian yang membentuk identiti kita sebagai rakyat Malaysia.
“Saya nekad untuk mewakili negara dengan penuh keanggunan dan beradab sambil membuktikan bahawa kecantikan, belas ihsan dan intelek mampu berjalan seiring. Saya akan berikan yang terbaik untuk membanggakan Malaysia di pentas antarabangsa,” kata Chloe.

Evening Gown Masih Rahsia
Dalam pada itu, Pengerusi MUMO, Datin Wira Livonia Ricky Guing turut berkongsi bahawa rekaan gaun malam Chloe akan menjadi kejutan, yang hanya akan didedahkan semasa pertandingan nanti.
“Tunggu nanti kejutan. Gaun malam kali ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, sesuatu yang istimewa untuk penonton nantikan,” kata Livonia.
Kostum tersebut diperkenalkan secara rasmi dalam sidang media ‘A Fellowship for Miss Universe Malaysia 2025’ yang diadakan di Holiday Inn Bangsar, pada Khamis lalu.
Turut hadir Pengerusi Miss Universe Malaysia Organization (MUMO), Datin Wira Livonia Ricky Guing dan Pengarah Nasional, Charissa Chong, selain pereka kostum, Mell Sulaiman, pemenang Malaysia Top National Costume Designer Competition 2025.