Pelakon, Datin Intan Najuwa meluahkan rasa sedih dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi membabitkan seorang pelajar sekolah yang menggemparkan negara baru-baru ini.
Menerusi beberapa siri hantaran di platform Threads, Intan menyifatkan insiden tersebut sebagai satu panggilan kesedaran (wake-up call) untuk seluruh masyarakat termasuklah ibu bapa, guru, dan komuniti agar lebih peka terhadap kesejahteraan emosi serta tingkah laku anak-anak.
Advertisement
“Salam takziah buat keluarga mangsa pelajar yang terlibat dalam insiden tragis di sekolah. Berita menyayat hati ini seharusnya membuka mata kita semua.
“Setiap daripada kita memikul tanggungjawab bersama dalam membentuk dan membimbing anak-anak,” luahnya.
Bagaimanapun kata Intan, dia memahami walaupun sistem pendidikan dan peraturan perlu diperketatkan, namun realitinya tugas guru kini semakin mencabar kerana jumlah pelajar yang ramai menyukarkan pemantauan secara menyeluruh
“Sistem sekolah dan peraturan sememangnya perlu diperketatkan, namun dalam realiti sebenar, saya faham bahawa jumlah pelajar yang ramai menjadikan tugas guru sangat mencabar untuk memantau setiap seorang.
“Pada masa yang sama, tragedi ini mengingatkan kita betapa pentingnya peranan ibu bapa di rumah untuk mendidik, membimbing, dan yang paling utama, memberikan perhatian.
“Perhatian dan komunikasi dengan anak-anak sangat penting kerana mereka masih muda dan masih belajar membezakan antara yang betul dan salah,” coretnya.

Dalam pada itu, Intan juga mempersoalkan bagaimana insiden membawa senjata ke sekolah boleh berlaku tanpa dikesan lebih awal, dan menyifatkan kejadian itu sebagai petanda bahawa pemantauan dan komunikasi perlu dipertingkatkan di semua peringkat.
“Bagaimana seorang kanak-kanak boleh membawa senjata ke sekolah tanpa disedari sesiapa? Ia menunjukkan betapa pentingnya untuk kita sentiasa peka, mendengar, dan sentiasa mengingatkan anak-anak tentang empati, kebaikan, dan akibat daripada setiap perbuatan.
“Mari kita semua bermuhasabah dan mainkan peranan masing-masing. Bukan hanya apabila sesuatu berlaku, tetapi setiap hari, bermula dari rumah kita sendiri,” tulisnya.
Terdahulu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun dalam kejadian di kawasan tandas perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama kira-kira 9.10 pagi.