Sekilas
- Fazura jelaskan video tular yang menunjukkan dia tidak menegur Sharifah Shahora adalah salah faham kerana mereka sudah bergambar bersama sebelum itu.
- Pelakon itu dakwa ada pihak cuba melaga-lagakan mereka dengan menyamar sebagai peminat di media sosial.
- Fazura tegaskan hubungan mereka baik dan minta orang ramai jangan buat andaian berdasarkan video yang tidak lengkap.
Pelakon dan usahawan, Fazura, tampil menjernihkan keadaan susulan penularan sebuah video di media sosial yang memaparkan dirinya beramah mesra dengan beberapa artis ketika menghadiri sebuah ekspo di Singapura baru-baru ini.
Video tersebut menunjukkan Fazura menyapa dan bergambar dengan pelakon Rita Rudaini, namun kelibat Sharifah Shahora yang turut berada di booth sama menimbulkan tanda tanya apabila Fazura dilihat tidak menegurnya dalam rakaman berkenaan.
Enggan isu kecil itu terus menjadi bahan spekulasi, Fazura menjelaskan bahawa dia sebenarnya sudah pun bergambar dengan Sharifah Shahora lebih awal sebelum video tular itu dirakam.
“Semalam saya ambil gambar dengan Sharifah Shahora, memang saya minat dari dulu. Lepas tu ambil gambar dengan Rita Rudaini,” katanya.
Menurut Fazura, terdapat kemungkinan sesetengah individu sengaja cuba melaga-lagakan mereka dengan menyamar sebagai peminat.
“Nak kena cakap ni… kami geng. Kadang-kadang bukan peminat saya, kadang-kadang orang yang menyamar jadi peminat saya yang melaga-lagakan. Jangan percaya,” jelasnya.
Fazura turut menegaskan hubungan mereka baik sahaja dan meminta orang ramai tidak membuat andaian berdasarkan video yang tidak lengkap.
“Peminat saya penuh kasih sayang. Saya sayang kakak saya ni… takkanlah nak senyum 24 jam. Kami dah ambil gambar berdua dulu semalam. Ini legend,” katanya.
Sebelum ini, tular video memaparkan reaksi Sharifah Shahora yang didakwa kurang mesra ketika Fazura hadir ke booth berkenaan, menyebabkan pelakon itu dikecam netizen yang menyangka hubungan mereka dingin.
Jelas Fazura, tiada sebarang isu antara mereka dan semuanya hanyalah salah faham berpunca daripada rakaman yang tidak menunjukkan keseluruhan situasi sebenar.
Sumber: Instagram