Selepas hampir tujuh tahun menjauh daripada aliran pop berbahasa Indonesia yang membesarkan namanya, Afgan akhirnya kembali dengan single terbaharu berjudul ‘Kacamata’.
Karya ini menandakan kepulangannya ke akar muzik dan identiti asal sebagai penyanyi pop romantik Indonesia yang digemari ramai.
Advertisement
Lagu ini menjadi pembuka tirai kepada album ketujuh Afgan berjudul ‘Retrospektif’ yang dijadualkan menemui peminat pada November 2025. Sesuai dengan judulnya, album ini membawa semangat “kembali ke pangkal jalan” yang mencerminkan perjalanan Afgan selama 15 tahun dalam dunia muzik. Ia mempertemukan semula sisi pop klasik yang lembut dengan produksi moden yang segar serta jiwa lokal yang penuh rasa.
‘Kacamata’ bukan sekadar lagu cinta biasa. Ia sarat dengan makna tentang seseorang yang sanggup mengubah diri demi cinta, namun akhirnya menyedari bahawa semua pengorbanan itu sia-sia. Lagu ini menjadi simbol kehilangan jati diri dan pengkhianatan terhadap diri sendiri, tetapi tetap disampaikan dengan sentuhan melodi yang lembut dan menenangkan.
Afgan menjelaskan bahawa karya ini sangat dekat dengan dirinya.
“Bagi saya, Kacamata sangat simbolik. Ia mewakili era awal saya ketika dikenali dengan imej berkaca mata dan lagu-lagu pop sentimental. Lagu ini terasa seperti pulang ke rumah,” katanya.
Dari segi muzik, Kacamata mengekalkan gaya pop Afgan yang melodik dan berjiwa romantik, namun diselitkan dengan elemen R&B moden serta susunan muzik yang lebih minimalis dan elegan.
Untuk menghasilkan lagu ini, Afgan bekerjasama dengan tiga figura berbakat besar dalam industri muzik Indonesia iaitu Iqbal Siregar, Petra Sihombing dan Kamga Mohammed. Iqbal membawa idea awal melodi korus yang kemudiannya dikembangkan bersama hingga menjadi lagu lengkap dalam tempoh dua jam sahaja. Petra bertindak sebagai penerbit dan komposer, manakala Kamga berperanan sebagai pengarah vokal serta komposer bersama.
“Proses rakaman lagu ini berlangsung sangat pantas tetapi teratur. Vokal dirakam dalam setengah hari sahaja, manakala keseluruhan produksi siap dalam masa kira-kira dua bulan,” kata Afgan.
Bagi Afgan, Kacamata bukan sekadar lagu cinta yang patah hati. Ia juga membawa pesanan rohani tentang kekuatan diri dan makna kebergantungan yang sebenar.
“Kadang-kadang kita terlalu berharap kepada manusia hingga lupa bahawa satu-satunya tempat bergantung hanyalah Tuhan. Lagu ini menjadi peringatan lembut agar kita tidak kehilangan diri sendiri ketika berdepan dengan kekecewaan,” ujarnya.
Dengan ritma yang ringan dan lirik yang mudah diingati, Kacamata memberi rasa tenang serta aura positif yang mampu membuat pendengar tersenyum walaupun dalam kesedihan.
Muzik video Kacamata diarahkan oleh Shadtoto Prasetio dan menampilkan pelakon Yuki Kato sebagai gandingan Afgan dalam kisah visual bernuansa nostalgia era 90-an. Video ini menampilkan konsep minimalis dengan sentuhan moden dan menjadikan permainan catur sebagai simbol perjalanan cinta yang penuh strategi, langkah maju, undur dan pengorbanan.
Menariknya, Kacamata turut menonjolkan permainan gitar sebagai elemen utama, berbeza daripada karya terdahulu Afgan yang lebih banyak menggunakan piano dan orkestra.
Single terbaharu Kacamata kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 10 Oktober 2025, manakala album penuh Retrospektif bakal dilancarkan pada November 2025.