Sekilas
- Jennifer Lopez buat persembahan bertenaga di majlis perkahwinan mewah anak taikun farmasi India di Udaipur, yang berlangsung selama tiga hari pada November.
- Ini adalah kunjungan pertama Lopez ke India dan beliau dikatakan menerima bayaran sekitar RM8.3 juta untuk menghiburkan tetamu antarabangsa.
- Selain Lopez, bintang Bollywood seperti Madhuri Dixit turut menghiburkan tetamu, menyambung tradisi penyanyi Hollywood di majlis perkahwinan mewah orang kaya India.
Pesohor Hollywood, Jennifer Lopez menjadi ‘bintang utama’ di majlis perkahwinan pasangan kaya dari India apabila melakukan persembahan bertenaga di acara gilang gemilang dan mewah yang berlangsung di Udaipur, India.
Lopez dijemput membuat persembahan pada majlis perkahwinan anak perempuan taikun farmasi, Rama Raju Mantena, Netra Mantena dan usahawan jutawan Vamsi Gadiraju.
Kehadiran Lopez membuat persembahan di majlis yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 21 hingga 23 November itu menjadi tular kerana ia merupakan kunjungan pertama kali bintang tersebut ke India.


Malah Lopez didakwa menerima bayaran yang cukup lumayan iaitu USD2 juta atau RM8.3 juta untuk menghiburkan tetamu istimewa yang datang daripada seluruh pelusuk dunia.
Menerusi laporan Indian Express, Lopez telah mempersembahkan sebahagian lagu hitnya pada ‘konsert’ yang berlangsung pada malam pertama majlis iaitu sangeet. Lagu-lagu tersebut termasuklah Get On the Floor, Waiting for Tonight, Save Me Tonight, Get Right dan Ain’t Your Mama.
Selain Lopez, bintang-bintang terkenal Bollywood turut diundang menghiburkan tetamu di majlis mewah tersebut termasuk Madhuri Dixit.


Kehadiran Lopez, 56, memperpanjang daftar penyanyi Hollywood di majlis perkahwinan mewah orang kaya India selepas Beyonce tampil menyanyi buat pasangan Isha Ambani and Anand Piramal pada 2018.
Kemudian rombongan Rihanna, Justin Bieber dan Katy Perry ikut meramaikan pesta perkahwinan Anant Ambani dan Radhika Merchant pada Mac 2024.