Fattah Amin memfailkan saman dan menuntut ganti rugi RM5 juta terhadap seorang pempengaruh media sosial dan suami kerana mengeluarkan kenyataan didakwa memfitnah, dengan menyatakan pelakon berkenaan telah curang semasa berkahwin dengan selebriti, Nur Fazura.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 26 Ogos lalu, Fattah, 35, mendakwa Nuraien Adilla Hasha Akhbar dan suami, Mohd Hafizzuddin Hamri selaku defendan pertama dan kedua, menerbitkan kenyataan berbaur fitnah di platform ‘Threads’ pada 29 Julai dan 22 Ogos lalu.
Advertisement
Dokumen itu berkata, dua defendan yang berusia 29 tahun tersebut telah membuat dakwaan fitnah kemudian ditonton, dikongsi dan disebarkan dengan meluas pihak ketiga antaranya beberapa portal hiburan.
Katanya, kenyataan berkenaan mengundang reaksi negatif masyarakat kerana membawa maksud, antaranya Fattah selaku plaintif telah curang dengan bekas isterinya yang juga usahawan tudung sehingga membawa kepada perceraian.
“Akibat tindakan mereka, saya mengalami gangguan emosi, penghinaan serta pengaiban secara umum selain ia telah mencemarkan nama baik saya,” kata plaintif.
Susulan itu, plaintif memohon kedua-dua defendan membuat kenyataan maaf tidak bersyarat secara bertulis di akaun media sosial di kawalan mereka.
Sementara itu, Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, memerintahkan dua defendan terbabit menurunkan semua hantaran yang menuduh pelakon itu curang.
Peguam, Mohd Faiz Iskandar Hamzah yang mewakili Fattah berkata, Hakim, Datuk Anand Ponnudurai memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan secara ex-parte atau sebelah pihak difailkan pelakon filem ‘Pendekar Awang: Darah Indera Gajah’ berkenaan.
Menurutnya, mahkamah memberikan perintah injunksi ad-interim supaya dua defendan menurunkan semua hantaran didakwa fitnah di media sosial.
“Mahkamah membenarkan permohonan ex-parte dan memberikan perintah ad-interim untuk dua defendan menurunkan semua hantaran berkenaan,” katanya selepas prosiding secara dalam kamar.
Dalam prosiding berkenaan, Fattah atau nama penuhnya, Abdul Fattah Mohd Amin tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam.
Selepas tujuh tahun mengecapi kebahagiaan rumah tangga, Fattah melafazkan cerai terhadap Fazura dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 7 Oktober 2024.
Fazura dan juara Hero Remaja 2011/2012 yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017, dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia lima tahun.
Sumber: Sinar Harian