Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty, tampil memberi pandangan berhubung isu tular melibatkan kecuaian pihak produksi filem Telaga Suriram yang didakwa memaparkan kelibat kru penggambaran dalam salah satu babak karya arahan Osman Ali itu.
Menurut Ellie, perkara tersebut seharusnya dijadikan pengajaran bukan sahaja buat pasukan produksi, malah kepada semua pihak dalam industri perfileman tanah air.
Advertisement
“Pada saya semasa membuat suntingan, kena sangat berhati hati. Kalau sudah sampai peringkat akhir, kena tengok semula untuk setiap perincian.
“Jadi ini adalah satu pengajaran, ‘lesson learned’ supaya tak berlaku lagi. Biasalah, kesilapan manusia. Kita belajar daripada kesilapan.
“Saya bukan menyalahkan pengarahnya tetapi pada saya sebagai pengarah atau pelakon kita semua seharusnya lebih peka,” katanya ketika ditemui Gempak.
Ketika ditanya mengenai perkara itu, Ellie berkata dia sendiri mengetahui tentang isu tular tersebut selepas diberitahu oleh anaknya, Azril, yang turut menonton filem berkenaan.
“Saya dapat tahu daripada anak saya Azril. Anak saya kata, ‘Mommy, kenapa ada kru dekat situ dengan payung semua?’.
“Saya tak boleh nak kata apa sebab saya datang sebagai aktor, bukan sebagai orang yang terlibat dalam proses suntingan,” katanya.
Dalam pada itu, Ellie menegaskan bahawa kesilapan seperti itu boleh berlaku secara tidak disengajakan, namun perlu dijadikan peringatan untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan.
“Saya tidak cakap benda itu dibuat secara sengaja cuma marketing yang buruk masih lagi marketing yang bagus.
“Jadi ini adalah satu pengajaran, bukan sahaja untuk kita tetapi juga diri saya sebagai seorang pengarah dan produksi lain,” ujarnya.
Selain Ellie, Telaga Suriram turut menampilkan pelakon hebat seperti Maya Karin, Scha Alyahya, Farid Kamil dan Nabila Huda.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai foto yang memaparkan kelibat kru penggambaran dipercayai termasuk dalam salah satu babak filem tersebut.
