Sekilas
- Pelakon Ida Nerina berkongsi detik terakhir bersama ibunya, Allahyarham Datuk Marina Md Yusoff, yang sempat mengucapkan 'I love you' sebelum meninggal dunia pada usia 84 tahun akibat sakit tua.
- Allahyarham Marina dikenali sebagai wanita hebat yang banyak berjasa kepada masyarakat, pernah memegang jawatan penting dalam politik dan berjaya membina bangunan pencakar langit dengan modal permulaan RM1 juta.
- Upacara pengebumian dihadiri kira-kira 100 individu termasuk tokoh kenamaan dan rakan artis, sebagai penghormatan terakhir kepada beliau yang juga pernah memulakan pusat dialisis dan berkhidmat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Pelakon, penerbit dan pengarah, Ida Nerina mengimbau detik terakhir bersama ibunya, Allahyarham Datuk Marina Md Yusoff yang sempat menzahirkan ungkapan kasih sayang sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Menurut Ida, 62, ucapan ringkas 'I love you' yang diungkapkan ibunya dianggap penuh makna dan menjadi kenangan paling berharga buat dirinya serta keluarga yang kini perlu menerima hakikat pemergian insan tersayang.
"Ucapan terakhir yang sempat disampaikan ibu kepada saya ialah 'I love you' (saya sayang kamu).
"Kasih sayang ibu kepada anak-anaknya, adik-beradiknya serta cucu-cicitnya tiada bandingan buat saya," katanya
Terdahulu, Allahyarham Marina dilaporkan meninggal dunia pada usia 84 tahun akibat sakit tua pada jam 5.16 petang semalam di sebuah hospital swasta di ibu negara.
Pengebumian Allahyarham yang juga bekas ahli politik dan usahawan itu berjalan lancar dengan dihadiri kira-kira 100 individu terdiri daripada ahli keluarga, kenalan rapat serta beberapa tokoh kenamaan bagi memberi penghormatan terakhir.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham diuruskan dan disolatkan di Masjid Umar Al-Khattab sebelum selesai kira-kira jam 10.15 pagi, seterusnya dibawa ke tanah perkuburan menaiki van jenazah.
Dalam pada itu, Ida berkata, ibunya sudah banyak mencurahkan bakti kepada masyarakat serta keluarga, malah menjadi insan penting yang membentuk dirinya hingga ke hari ini.
"Ibu saya sudah mendedikasikan kehidupannya semata-mata untuk kami semua. Siapa sahaja kami dan apa sahaja yang kami ada hari ini, semuanya kerana dia," katanya sambil menahan sebak.
Menurutnya, Allahyarham juga dikenali sebagai wanita yang banyak berjasa kepada masyarakat sepanjang hayatnya.
"Ibu saya seorang wanita yang sangat hebat dan banyak menyumbang kepada rakyat Malaysia.
"Beliau pernah menganggotai Majlis Tertinggi Parlimen suatu ketika dahulu dan juga berjaya membina sebuah bangunan 39 tingkat dengan dana permulaan hanya RM1 juta.
"Siapa sahaja yang memulakan pembinaan bangunan pencakar langit dengan hanya RM1 juta?" katanya.
Berkongsi lanjut, Ida berkata, ibunya turut memberi sumbangan besar dalam bidang perubatan.
"Beliau memulakan pusat dialisis dan pernah berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
"Ibu saya juga membuka hati dan rumahnya kepada ramai orang. Alhamdulillah, hari ini ramai hadir memberi penghormatan terakhir termasuk yang mendoakan arwah pada bulan mulia ini. Kami sangat menghargainya," katanya
Antara individu kenamaan yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Tan Sri Nazir Razak, adik kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, serta bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar.
Turut hadir memberi sokongan moral kepada Ida ialah rakan pelakon seperti Hairul Azreen dan Vanidah Imran.
Allahyarham Marina pernah memegang jawatan Timbalan Presiden Wanita UMNO dari 1972 hingga 1974.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Nasional yang kemudian bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia pada 2003 untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat.
Bagaimanapun, beliau meletak jawatan pada tahun 2000 atas faktor kesihatan dan bagi memberi tumpuan kepada bidang pembangunan hartanah.
Sumber: BH Online