Sekilas
- Pelakon Hun Haqeem diumumkan sebagai duta wangian Emporio Armani Malaysia pertama untuk koleksi Stronger With You.
- Hun meluahkan rasa syukur dan bangga kerana diberi kepercayaan mewakili jenama antarabangsa yang ikonik ini.
- Hun berjanji akan bekerja keras dan membawa identiti Malaysia dengan penuh tanggungjawab dalam kerjaya seni dan peranannya.
Pelakon, Hun Haqeem meluahkan rasa syukur dan berbesar hati apabila jenama mewah antarabangsa, Armani beauty mengumumkan namanya sebagai duta wangian Emporio Armani Malaysia yang pertama menerusi koleksi wangian baharu iaitu Stronger With You.
Menurut Hun, peluang untuk mewakili jenama global yang cukup ikonik itu merupakan satu pencapaian besar dalam perjalanan kariernya sebagai anak seni tempatan.
“Saya rasa sangat bersyukur dan berbesar hati untuk mewakili jenama yang begitu besar. Saya sangat bangga kerana dipilih sebagai rakyat Malaysia pertama untuk wangian Emporio Armani. Ia sesuatu yang sangat fenomenal buat saya.
“Untuk menjadi anak Malaysia pertama sebagai duta wangian Emporio Armani adalah satu perasaan yang sukar digambarkan.
“Saya tak sangka, tetapi dalam masa sama saya amat berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan.
“Terima kasih juga kepada peminat yang menunggu sejak pagi. Ini adalah untuk mereka, tanpa mereka siapalah saya. Sejujurnya saya bersyukur,” ujarnya.
Hun berkata demikian ketika membuat kemunculan istimewa acara meet & greet di booth L’Oreal Luxe Multi-Branded Eid Mubarak, IOI Putrajaya baru-baru ini.
Mengulas mengenai tanggungjawab yang digalas, Hun mengakui perkara itu bukanlah sesuatu yang boleh diambil remeh, apatah lagi membawa nama Malaysia untuk jenama antarabangsa.
Sebaliknya kata Hun, dia menjadikan peluang ini sebagai pembakar semangat buat dirinya untuk terus bekerja keras.
“Tanggungjawab itu sangat besar. Sebagai rakyat Malaysia, kita cuba bawa satu identiti tersendiri kerana bukan selalu kita mendapat peluang untuk mewakili jenama global yang ikonik seperti Armani.
“Jadi, saya percaya kita perlu sentiasa berikan yang terbaik.
“Untuk saya sendiri, tiada alasan untuk bermalas-malasan. Insya-Allah setiap peluang yang ada, saya akan lakukan yang terbaik,” jelasnya.
Untuk info, booth Eid pop-up itu akan berada di IOI Putrajaya sehingga 9 Mac ini.