Sekilas
- Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani Helmi, aktif dalam inisiatif kemanusiaan untuk menyokong rakyat Palestin melalui pelbagai usaha termasuk kempen Hopipop x One Million Mission To Gaza.
- Setiap pembelian minuman tin Hopipop menyumbang RM1 kepada rakyat Gaza, dan syarikat Hansraeeza Legacy menolak tawaran eksport ke Amerika Syarikat sebagai tanda solidariti dan menjaga prinsip kemanusiaan.
- Hansraeeza Legacy akan mengadakan sesi siaran langsung di TikTok setiap Sabtu bersama The Helmis untuk mempromosikan kempen dan mengajak sokongan rakyat Malaysia.
Selebriti tanah air, Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani Helmi bertekad meneruskan solidariti terhadap rakyat Palestin menerusi penglibatan aktif dalam pelbagai inisiatif kemanusiaan.
Kedua-dua aktivis yang lebih mesra dikenali sebagai The Helmis, yang juga peserta Global Sumud Flotilla (GSF), menyatakan komitmen menyokong usaha berteraskan kebajikan serta kesedaran awam bagi meringankan penderitaan rakyat Gaza.
Terbaharu, gandingan tersebut terpilih menyertai kempen khas Hopipop x One Million Mission To Gaza anjuran syarikat pengeluar minuman tin Hopipop, Hansraeeza Legacy Sdn. Bhd. sebagai inisiatif mengumpul dana bagi membantu rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik berterusan di Gaza.
Heliza memuji komitmen Hansraeeza dalam memperkenalkan kempen berunsur kemanusiaan dan solidariti, selain menzahirkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Inisiatif penghasilan produk minuman tin Hopipop oleh Hansraeeza disifatkan sebagai usaha murni berteraskan semangat jihad ekonomi, apabila setiap pembelian menyumbangkan RM1 secara langsung kepada rakyat Gaza.
“Kami berbesar hati untuk bersama dalam inisiatif ini kerana ia merupakan satu perjuangan yang menuntut komitmen bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Heliza turut menyokong pendirian Hansraeeza yang menolak tawaran mengeksport Hopipop ke Amerika Syarikat sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin, sambil menegaskan bahawa prinsip lebih utama berbanding keuntungan.

Pengarah Hansraeeza Legacy, Shafinaz Mohd Izhar berkata, keputusan tersebut dibuat berlandaskan prinsip serta keprihatinan terhadap isu kemanusiaan di Gaza, sekali gus menolak kepentingan keuntungan semata-mata.
“Demi maruah Palestin, kami mahu mendapatkan sokongan semua pihak di Malaysia. Kami tidak perlu mencari rezeki di luar negara kerana pasaran tempatan sudah mencukupi, asalkan niat itu ikhlas.
“Kami tidak mahu kerana wang, maruah itu tergadai hingga ke Amerika Syarikat. Prinsip kami adalah menjaga maruah Palestin dan Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak syarikat akan mengadakan sesi siaran langsung di TikTok pada setiap Sabtu jam 8.30 malam bersama The Helmis bagi menguar-uarkan kempen berkenaan.
