Bintang Gegar Vaganza 12 (GV12), Shae meluahkan rasa sedih dan kecewa apabila tidak dapat membawakan lagu popularnya, ‘Sayang’ di pentas berprestij itu kerana isu perundangan yang masih belum selesai.
Menurut Shae atau nama lengkapnya,Sheryl Gething lagu tersebut sememangnya memiliki nilai sentimental yang besar dalam perjalanan kariernya kerana ia merupakan lagu yang melonjakkan namanya di Malaysia dan beberapa negara lain.
“Saya tahu pasti banyak yang bertanyakan sebab memang lagu itu popular di beberapa negara.
Tapi memang sejujurnya sudah beberapa tahun tidak menyanyikan lagu itu disebabkan masalah undang-undang yang lama.
“Jadi kami berbincang dengan pihak produksi, menjelaskan situasi kami dan mereka berhubung dengan peguam saya. Kami berikan beberapa pilihan kepada mereka mungkin boleh merosakkan persembahan atau beri sahaja peluang kepada penyanyi lain namun mereka tetap memberi peluang itu kepada saya,” katanya kepada Gempak.
Advertisement
Bagaimanapun, penyanyi lagu Cintaku Tlah Mati Untukmu itu mengakui tidak dapat menahan perasaan apabila memikirkan bahawa dia tidak lagi boleh mempersembahkan lagu yang pernah menjadi titik kejayaannya.
“Isu ini membuatkan saya sangat sedih sebenarnya sebab tak boleh membawakan lagu ini.
“Semua orang tahu lagu itu menaikan karier muzik saya, jadi hakikat tidak boleh membawakan lagu itu seperti akhir karier,” tambahnya.
Ketika ditanya lanjut mengenai punca sebenar tindakan undang-undang tersebut, Shae bagaimanapun enggan mengulas secara terperinci.
Namun, dia memberi bayangan bahawa perkara itu melibatkan individu perantara yang pernah terbabit dalam pengurusan terdahulu.
“Bukan dengan label, tapi saya boleh katakan perkara ini terjadi kerana orang tengah.Saya minta maaf sebab tak boleh berkongsi lebih lanjut. Peguam nasihatkan saya untuk jaga batas bila bercakap tentang hal ini.
“Apapun, saya serahkan segalanya kepada Tuhan kerana ia di luar kuasa saya,” katanya lagi.