Pelakon dan pelawak, Zizan Razak mengakui hantaran gambarnya bersama seorang wanita di Instagram hanya sekadar kandungan hiburan dan gurauan bersama peminat.
Jelas Zizan, dia berbuat demikian selepas melihat rakan seindustri, Jaa Suzuran memuat gambar itu di sosial media miliknya.
“Tak adalah apa-apa. Itu sekadar kandungan hiburan sahaja. Tak ada benda pun sebab mula-mula saya saja buat. Lepas itu saya komen dekat Jaja minta dia buat satu. Tak sangka pula dia terus WhatsApp saya cakap, ‘Ah, dah siap.
“Bila saya post, saya tengok terus terkejut. ‘Oh my God,’ dah 5 juta lebih tontonan. Komen pun dah banyak. Nak padam pun rasa sayang, jadi biarlah ia kekal begitu,” katanya kepada Gempak.
Mengulas spekulasi netizen yang mengaitkan kandungan tersebut dengan soal perkahwinan, Zizan menegaskan ia hanyalah gurauan semata-mata.
“Ia sekadar gurauan antara saya dengan peminat. Tak lebih daripada itu. Tapi saya tahu ramai yang nak tengok saya kahwin. Saya doakan juga, tak salah kalau nak kahwin kan. Benda itu wajib juga. Saya memang dah layak, cuma belum jumpa jodoh lagi. Kalau ada nanti, saya akan umumkan. Saya memang nak kahwin,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon yang popular dengan filem Polis Evo itu akui tidak kisah jika orang memanggilnya sebagai Presiden Single.
Zizan turut berseloroh mengenai idea untuk menubuhkan satu kumpulan khas bagi golongan bujang sepertinya.
“Boleh saja saya jadi presiden. Kalau saya jadi presiden, saya buka keahlian. Macam PPIM juga, tapi ini ‘Group Presiden Single’. Maksudnya jangan kacau kami. Saya nak tapis betul-betul, pastikan yang betul-betul single sahaja. Jangan buat hal,” kata Zizan berseloroh.