Sekilas
- Fendy Bakry berharap orang ramai beri ruang kepada Khairul Aming untuk perbaiki restoran Rembayung tanpa tekanan berlebihan walaupun banyak ulasan positif dan negatif tular.
Fendy kongsi ramai yang beri review walaupun belum cuba makanan, malah ada yang beri barangan untuk dapatkan review daripada Khairul Aming.
Pelakon, Fendy Bakry berharap agar orang ramai dapat memberi sedikit ruang kepada pempengaruh serta usahawan, Khairul Aming, susulan pelbagai reaksi dan ulasan berkaitan restoran miliknya iaitu Rembayung yang kini menjadi bualan hangat.
Menerusi perkongsian di platform Threads miliknya, Fendy berkata fenomena tular tersebut menyaksikan terlalu banyak ulasan dibuat, tidak kira sama ada positif mahupun negatif, sehingga ada yang dilihat agak keterlaluan.
“Banyak betul review Rembayung dan jadi bualan ramai. Masing-masing tak nak kalah untuk up segala review yang ada.
“Yang positif, yang negatif. Yang tak makan lagi tapi dah bagi rate pun ada.. Yang tak pandai masak tapi sibuk nak review pun ada juga.
“Bila minta pandangan macam mana nak sedapkan? hmmmm haukkk. Mesti ada juga yang datang dan bagi barangan dengan harapan KA akan review. Itu pun satu juga. Hantu betul. Hahahahaha,” kongsinya.
Bagaimanapun kata Fendy, walaupun dia percaya bahawa Khairul Aming sudah menjangkakan hal tersebut dan bersedia dari segi mental, namun aktor itu berharap orang ramai dapat memberi ruang kepadanya untuk terus memperbaiki kualiti perniagaan tanpa tekanan berlebihan.
“Bagi lah kawan tu bernafas sama. Improve dari semasa ke semasa. Macam dah tak ada hari esok.
“Tapi aku rasa KA mesti dan ready dengan mental dia dan dia pun dah jangka benda ni akan berlaku,” jelasnya.

Terdahulu, Khairul Aming, tampil memberi penjelasan susulan reaksi orang ramai terhadap pembukaan restoran baharunya yang mendapat sambutan luar jangka.
Menerusi satu hantaran di Threads, Khairul Aming memohon agar orang ramai tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi seolah-olah dia menganjurkan sebuah konsert berskala besar, sebaliknya hanya membuka sebuah kedai makan dengan kapasiti terhad.
Penjelasan itu mendapat perhatian ramai pengikut yang rata-rata memahami cabaran mengurus perniagaan makanan dengan permintaan tinggi, selain menyuarakan sokongan agar orang ramai lebih bersabar dan realistik dalam meletakkan jangkaan.