Skip to main content

Viral

"Bila Lihat Kerusi Arwah Selalu Duduk, Saya Akan Sayu" - Syafiq Dharma Terkenang Arwah Bapa, 'Jam Misteri Atuk' Sentuh Emosi

Astro Gempak syafiq dharma (1)

Sekilas

  • Syafiq Dharma berkongsi pengalaman emosi lakonannya dalam filem pendek raya Jam Misteri Atuk yang dekat dengan kehilangan bapanya, Allahyarham Dharma Harun Al Rashid.
  • Filem pendek ini mengisahkan seorang cucu perempuan yang menemui jam tangan lama datuknya yang membawa dia kembali ke masa lalu, membawa mesej penting tentang menghargai insan tersayang.
  • Jam Misteri Atuk akan ditayangkan secara eksklusif pada 13 Mac 2026 di 10Stars Cinemas dan disiarkan di YouTube Avaris Studio MY serta Awesome TV.

Pelakon Syafiq Dharma mengakui penglibatannya dalam filem pendek raya berjudul Jam Misteri Atuk memberi kesan emosi yang mendalam kerana jalan ceritanya sangat dekat dengan pengalaman hidup yang dilalui.

Menurut Syafiq, beberapa babak dalam karya tersebut membuatkan dia teringat kepada arwah bapanya, pelakon terkenal era 1980-an, Allahyarham Dharma Harun Al Rashid, yang meninggal dunia pada 25 November tahun lalu.

Pengalaman kehilangan itu menjadikan lakonannya terasa lebih jujur kerana emosi yang ditampilkan bukan sekadar lakonan, sebaliknya lahir daripada pengalaman peribadi.

“Cerita ini tentang seorang anak yang kehilangan bapanya. Saya bersetuju untuk terlibat dalam karya ini kerana skripnya cukup dekat dengan diri saya yang baru kehilangan bapa dan masih dalam proses untuk ‘move-on’.

“Seperti mana dalam filem pendek ini, selepas arwah bapa tiada barulah kita teringat kenangan bersama dan rasa rindu. Walhal semasa bapa masih ada, kita sibuk dengan kerja dan kehidupan. Sekarang, apabila saya lihat kerusi yang arwah bapa selalu duduk, saya akan rasa sayu,” ujarnya.

Menurut Syafiq, filem pendek terbitan Avaris Studio itu juga membawa mesej penting tentang menghargai masa bersama ibu bapa selagi mereka masih ada.

Syafiq atau nama sebenarnya Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 37, yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA) berharap penglibatannya dalam filem pendek ini dapat membuka lebih banyak peluang dalam bidang seni sekali gus meneruskan legasi arwah bapanya.

“Sebelum ini saya memang ada berlakon, cuma ini adalah lakonan pertama saya selepas pemergian arwah bapa. Jika boleh arwah bapa mahu saya terus menghidupkan nama Dharma dalam bidang seni,” tuturnya.

Berkongsi pengalaman di lokasi penggambaran, Syafiq berkata walaupun proses penggambaran berlangsung dalam tempoh singkat, suasana kerja di set berjalan dengan lancar.

“Jika dibandingkan dengan pelakon lain, saya rasa diri terlalu kerdil. Tetapi mereka dapat menerima baik saya, begitu juga dengan produksi yang sangat profesional dan perkara tersebut membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja dalam karya lain selepas ini,” ujarnya.

Filem pendek yang diarahkan oleh Ali Irman Bahrudden ini mengisahkan tentang seorang cucu perempuan yang masih merindui arwah datuknya. Kisahnya berubah apabila dia menemui sebuah jam tangan lama milik datuknya yang secara misteri membawanya kembali ke masa lalu.

Menurut Ali Irman, filem yang menjalani penggambaran selama dua hari di Hulu Langat, Selangor itu sarat dengan mesej tentang menghargai insan tersayang serta menerima takdir kehidupan, selari dengan semangat Aidilfitri yang bakal menjelang.

“Pembikinan filem pendek ini tidak sukar kerana barisan pelakon yang berpengalaman. Apa yang boleh saya katakan Jam Misteri Atuk sebuah karya yang sangat menyentuh jiwa terutama orang yang pernah kehilangan insan tersayang. Jadi, saya harap penonton dapat memberikan sokongan,” tutur Ali Irman.

Selain Syafiq Dharma, filem pendek ini turut dibintangi oleh Azhar Amir, Aleza Shadan, Wafariena Roslan, Kiky Hannah dan Aidern Shafiy.

Jam Misteri Atuk ditayangkan secara eksklusif pada 13 Mac 2026 di 10Stars Cinemas Hextar World, Empire City Mall, Damansara. Pada hari yang sama, filem tersebut turut dilancarkan kepada umum menerusi saluran YouTube rasmi Avaris Studio MY dan disiarkan di Awesome TV.

 

Anda mungkin berminat dengan

SHEGLAM Enigma Sparkly Glitter Eyeshadow Palette

SHEGLAM Enigma Sparkly Glitter Eyeshadow Palette

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

SHEGLAM Sun Sculpt Matte Liquid Contour

SHEGLAM Sun Sculpt Matte Liquid Contour

Laneige Lip Sleeping Mask

Laneige Lip Sleeping Mask

WOSADO Magnetic Lash Set

WOSADO Magnetic Lash Set

Dr Cardin Women Lush Heels 1.5 inch L RPJ 9222

Dr Cardin Women Lush Heels 1.5 inch L RPJ 9222

Must-Watch Video

Advertisement