Skip to main content

Berita

Farah Lee Kongsi Detik Letupan Udara: “Bergegar Bot Kami, Rasa Luruh Jantung…”

farah_lee

Misi kemanusiaan peserta Global Sumud Flotilla (GSF) terus berdepan gangguan dan ancaman selepas bot yang dinaiki mula memasuki zon kuning di Gaza.

Ancaman terkini yang diterima bot peserta GSF adalah siri letupan di udara dengan niat untuk menakutkan dan mematahkan perjuangan untuk membantu Palestin.

Advertisement

Selain laporan berita, insiden tersebut juga dikongsi pempengaruh Farah Lee.

Farah atau nama sebenarnya Nurfarahin Romli yang berada di dalam bot Fair Lady antaranya bersama dengan Pengarah Media Muslim Care Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein memberitahu serangan berlaku pada awal pagi.

Menerusi perkongsiannya, Farah memberitahu: “Bergegar bot kami. Bau hangit mula masuk ke ruang bot. Rasa luruh jantung for a few seconds.”

Pada perkongsian sama, Farah memanjatkan doa agar misi kemanusian yang dijalankan dilindungi Allah SWT.

“Mungkin beginilah perasaan saudara mara kita di Gaza, setiap hari malah lebih dahsyat lagi.

“Ya Rabb, binasakannya musuh-musuhMu. Menangkanlah kami seluruhnya!”,tulis Farah.

Sebelumnya Farah berkongsi serangan berlaku sekitar pukul 3 pagi sewaktu dia sedang tidur.

“"Ada bot yang diserang melalui letupan udara dan ada (serpihan) yang jatuh ke bot hingga mengalami kerosakan.

“Serangan berlaku dalam pukul 3 pagi, saya tengah tidur dan dikejutkan serangan berlaku kepada beberapa bot difahamkan dalam empat, lima bot yang diserang,” kongsinya.

Pada latar video yang dikongsikan dapat dilihat dengan jelas warna oren seperti letupan sedang marak di tengah lautan.

Farah turut memaklumkan semua peserta kini dalam mood standby atau berjaga-jaga.

"Kami semua sudah dalam 'mode standby' dengan berpakaian jaket keselamatan, lampu di kepala dan kasut.

"Semua peserta disuruh tunggu dalam bot sebab serangan berlaku di luar dan kru semua tengah 'alert'.

"Doakan kami dan insya-Allah kekal tenang, Farah dan semua kat sini selamat saja," katanya lagi.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan Ketua Pengarah dan Jurucakap Rasmi Sumud Nusantara Flotilla Command Center, Datuk Dr Sani Araby Al-Kahery, berkata flotilla kemanusiaan sekali lagi diuji di Laut Mediterranean apabila 15 dron rejim Israel berlegar rendah setiap 10 minit sebagai cubaan intimidasi dan operasi risikan.

"Berlaku lapan letupan udara dilaporkan oleh delegasi dan kapal berdekatan, dipercayai sebagai ugutan terbuka terhadap misi ini.

"Seramai 34 delegasi Malaysia kekal dalam keadaan selamat dan bersiap siaga penuh," katanya dalam kenyataan yang dikongsi.

Menurutnya, flotilla kini di zon kelabu iaitu di perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza dan belum memasuki zon kuning atau merah.

"Gangguan ini adalah kali keempat sejak pasukan belayar di Lautan Mediterranean dan diyakini sebagai usaha untuk menakutkan serta mengugut.

"Misi ini adalah Misi Kemanusiaan Non-Violent untuk menghantar bantuan serta mendesak perang serta kebuluran dihentikan.

"Kami mendesak kepimpinan serta pendukung dalam negara dan dunia segera mendesak dan melakukan sesuatu atas provokasi kepada kumpulan aktivis kemanusiaan yang adalah orang awam ini," katanya.

Must-Watch Video

Advertisement