Skip to main content

Hiburan

Dolla Tak Rancang Rakam Semula MV Question, Syukur Peminat Antarabangsa Tetap Beri Sokongan - “Kami Rasa Itu Yang Terbaik…”

ccv

Sekilas

  • Kumpulan Dolla mengesahkan mereka tidak akan merakam semula muzik video 'Question' yang telah diturunkan dari YouTube kerana kos pembikinan yang tinggi.
  • Penurunan MV tersebut dibuat selepas perbincangan bersama beberapa pihak dan dianggap langkah terbaik untuk kumpulan itu.
  • Walaupun kontroversi, Dolla tetap menerima sokongan peminat antarabangsa yang memberi semangat untuk mereka terus berkarya.

Kumpulan Dolla mengesahkan mereka tidak merancang untuk merakam semula muzik video (MV) Question yang diturunkan baru-baru ini dari platform YouTube.

Menurut anggota Dolla, Angel, keputusan itu dibuat selepas meneliti beberapa faktor termasuk kos pembikinan yang tinggi.

“Tidak (rakam semula video). Tapi masih lagi ada video latihan tarian, kami masih juga muat naik video untuk penonton dan peminat antarabangsa.

“Hari ini pun sudah ada 400,000 tontonan dan kami sangat berbesar hati dapat kongsi video dengan peminat internasional,” katanya.

Sementara itu, Sabronzo pula menjelaskan penurunan MV tersebut bukan keputusan mereka semata-mata, namun berpendapat langkah itu adalah yang terbaik buat kumpulan tersebut.

“Bila kami takedown video tersebut, ia bukannya keputusan kami sepenuhnya. Keputusan itu datang daripada ramai pihak dan kami rasa itu adalah yang terbaik.

“Ramai juga yang gembira dengan perkara itu dan kami rasa ia langkah terbaik untuk kami maju ke hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tabby menyifatkan sokongan peminat luar negara tetap mengalir meskipun kontroversi melanda.

Katanya, sokongan seperti itu memberi semangat baharu buat mereka untuk terus berkarya dan menghargai setiap peminat yang menyokong dari jauh.

“Kami sangat bersyukur kerana walau apa pun yang berlaku, ramai peminat internasional buat video lipsync dan dance cover lagu kami.

“Mereka di luar negara pun sokong kami walaupun jauh dan jarang berjumpa. Kami sangat berterima kasih untuk itu,” katanya.

Dolla berkongsi perkara tersebut ketika ditemui selepas acara Dolla Exclusive Fan Meet yang berlangsung di Sunway Pyramid hari ini.

Acara tersebut berjaya menarik kehadiran seramai 600 peminat.

Terdahulu, penampilan kumpulan Dolla menerusi video muzik terbaharu berjudul Question mendapat perhatian ramai dengan ada sebahagian masyarakat menyifatkan ia keterlaluan terutama gaya fesyen seksi dan mencolok mata. 

Universal Music Malaysia mengambil langkah menurunkan video muzik terbaharu kumpulan Dolla semua platform digital susulan kritikan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan itu yang didakwa terlalu mencolok mata. 

Langkah itu turut dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, baru-baru ini menyuarakan kebimbangan mengenai isu pemakaian artis beragama Islam yang tidak selari dengan garis panduan sedia ada. 

Must-Watch Video

Advertisement