Konsert Robbie Williams yang dijadual berlangsung di Istanbul, Turkiye pada 7 Oktober dibatalkan oleh penganjur demi menjaga ‘keamanan’ dan keselamatan selepas penyanyi itu didakwa sebagai pro Israel.
Dakwaan tersebut dibuat oleh aktivis pro Palestin di Turkiye.
Advertisement
Bimbang kekacauan bakal berlaku pada konsert yang kebetulan jatuh pada tanggal dua tahun Israel melakukan pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat Palestin, penganjur memutuskan untuk tidak menyelenggara konsert tersebut.
Memberi reaksi kepada situasi tersebut, Williams, 51, memohon maaf kepada semua peminat yang telah menanti kehadirannya di Turkiye.
Mantan anggota Take That itu malah mengaku melakukan konsert di Atakoy Marina adalah mimpinya namun situasi yang berlaku adalah di luar kawalannya, lapor Sky News.
“Perkara terakhir yang saya akan lakukan adalah memperjudikan nasib peminat saya.
“Dan saya tidak akan melakukan itu. Keselamatan selalu menjadi keutamaan saya.
“Walaupun saya sangat teruja untuk mengadakan konsert di Istanbul buat pertama kali dan sengaja memilihnya sebagai destinasi terakhir, namun semuanya di luar kawalan saya.
“Untuk semua peminat di Turkiye, saya minta maaf. Pembatalan konsert ini di luar kawalan saya,” tulisnya panjang lebar di Instagram.
Konsert jelajah pemilik lagu Angel itu bermula pada Mei dengan Williams antaranya sudah membuat persembahan di London, Amsterdam, Berlin, Helsinki dan Athens.