Pelakon Datin Elvina Mohamad tampil menjelaskan kekeliruan penonton berhubung beberapa sedutan babak yang dianggap panas dalam drama bersiri iQiYi, Safira (Bukan Nama Sebenar) yang tular di media sosial.
Menurut Elvina, 30, dia sama sekali tidak melakonkan adegan tersebut dan menjelaskan penggunaan teknik kamera serta pelakon pengganti atau double body digunakan sepanjang penggambaran berlangsung.
Advertisement
“Ketika penggambaran, kami guna camera trick. Saya pun tak bersetuju nak buat babak panas. Itu sebab guna double body.
“Tapi siapa kita nak tolak, sebab dah tandatangan kontrak. Ia atas permintaan pengarah dan produksi. Kita hormat keputusan itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Safira di Pavilion Damansara Heights, di sini, semalam.
Selain itu, Elvina berharap penonton tidak terlalu cepat menilai tanpa mengetahui keadaan sebenar di lokasi.
“Dalam dunia lakonan, bukan semua babak dibuat betul-betul. Kadang hanya helah kamera. Saya harap orang luar tak mudah menilai tanpa tahu cerita sebenar,” ujarnya.
Tambah Elvina, dia tidak terlalu mengambil pusing komen netizen yang mahu menjatuhkannya hanya kerana salah faham atau isu kecil.
“Kita pun manusia, kita buat salah juga. Kalau hidup untuk puaskan orang, memang takkan boleh.
“Kalau kita jawab, akan ada salah juga. Jadi lebih baik diam. Bagi saya, ‘cancel’ atau tidak, jumlah pengikut sama saja. Di luar pun orang layan baik. Netizen komen cuma nak melaga-lagakan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, pelakon drama Ternyata Sebuah Bahagia itu turut meluahkan pandangannya terhadap budaya ‘cancel culture’ yang dihadapinya setelah tular video klip sedutan babak panas dalam drama tersebut.
“Di luar negara, kalau seseorang buat silap, terus ‘cancel’. Sekarang budaya itu dibawa ke sini pula.
“Isu Palestin pun sama. Ramai artis sudah buat hantaran menyokong tapi sebab netizen tak nampak, terus kena ‘cancel’. Padahal mereka banyak membantu secara senyap,” jelasnya.
Terdahulu, salah satu babak dalam drama Safira yang memaparkan seorang pelakon wanita di atas katil bersama aktor Hazeeq Deen tular dan meraih kecaman ramai kerana dianggap melampaui batas.
Selain Elvina, drama Safira arahan Ejump Mohd itu turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Datuk Aaron Aziz, Redza Rosli, Sazzy Falak dan Emelda Rosmila.