Sekilas
- Datuk Seri Aliff Syukri berkongsi rasa kecewa kerana pengorbanan besar dalam bidang muzik tidak dihargai dan sering menerima kecaman walaupun menanggung kos penerbitan lagu sendiri tanpa sokongan label atau pengurusan profesional.
- Beliau mendedahkan telah membelanjakan lebih RM1 juta untuk menghasilkan 10 lagu dalam tempoh hampir sedekad, namun masih menghadapi cabaran mendapat penghargaan dari stesen televisyen dan radio walaupun lagu-lagunya tular dalam talian.
- Aliff juga mengumumkan rancangan untuk melancarkan tiga single baharu sempena Aidilfitri tahun ini sebagai usaha meneruskan kerjaya muziknya.
Usahawan dan personaliti media sosial, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman meluahkan rasa kecewa apabila pengorbanan besar yang dicurahkan dalam bidang muzik tidak menerima penghargaan sewajarnya, sebaliknya berdepan kecaman serta sindiran berterusan.
Menurut Aliff, sebagai individu yang menceburi dunia muzik tanpa sokongan label rakaman atau pengurusan profesional, hampir keseluruhan kos penerbitan lagu ditanggung menggunakan wang sendiri.
"Orang lain buat lagu ada penaja, label, pengurus dan pasukan pemasaran. Saya buat lagu sendiri, tanpa pengurus, tanpa label.
"Saya sebenarnya hasilkan lagu untuk kepuasan diri, tetapi saya tetap mengharapkan sokongan dan sedikit belas kasihan daripada masyarakat untuk menghargai bakat saya," katanya kepada Gempak ketika ditemui pada majlis pembukaan rasmi cawangan pertama Juz Coffee di Seksyen 13, Shah Alam, baru-baru ini.
Aliff menjelaskan bahawa proses rakaman dan penerbitan lagu bukan sesuatu yang mudah, malah melibatkan kos yang tinggi dari pelbagai sudut.
Pemilik empayar perniagaan kosmetik dan produk kesihatan D’Herbs itu mendedahkan beliau telah membelanjakan lebih RM1 juta bagi menerbitkan 10 buah lagu sejak aktif dalam bidang muzik.
"Untuk merakam sebuah lagu bukan murah. Setiap lagu boleh menelan belanja lebih RM100,000 termasuk bayaran penari, komposer, pemuzik, penulis lirik dan syarikat rakaman.
"Namun apa yang saya terima hanyalah cacian dan makian. Apa salah saya sebenarnya? Kenapa bakat saya tidak dihargai?" katanya.
Tambah Aliff, walaupun sudah hampir sedekad menghiburkan masyarakat, penghargaan terhadap usahanya masih dirasakan tidak setimpal.
"Saya sudah menghiburkan rakyat Malaysia selama 10 tahun, tetapi masih ada yang menghina dan memperlekehkan saya. Saya cuma mahu menunjukkan bakat.
"Walaupun tanpa label dan pemasaran besar, lagu saya tetap tular. Dalam talian, berjuta-juta orang menonton. Itu bukti ada yang menyukai suara saya, tetapi stesen televisyen dan radio pula tidak mahu memutarkan lagu saya.
"Saya cuma minta satu perkara sahaja, dengar dan hargai bakat saya," katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Aliff memaklumkan beliau bakal melancarkan tiga single baharu sempena Aidilfitri tahun ini, yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Sepanjang 10 tahun pembabitannya dalam industri muzik, Aliff telah merakamkan 10 buah lagu, antaranya Biar Apa Orang Kata, Abang Nak Tegur, Bobo Di Manaa serta lagu raya seperti Kelepok Raya dan Chu Ku Chuk Raya.