Pelakon, Syafie Naswip memilih untuk tidak membaca komen di media sosial demi menjaga kesihatan mentalnya.
Syafie, 32, menjelaskan, sebagai anak seni yang sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam industri, dia kini lebih matang dalam menapis komen dan sedar tidak semua pandangan orang perlu diambil hati.
Advertisement
“Kalau orang terima dengan cara berbeza, itu sebenarnya bergantung kepada jangkaan atau perspektif masing-masing. Saya tak boleh nak salahkan mereka, itu pilihan mereka.
“Bagi saya, saya dah buat bahagian saya, saya dah cuba yang terbaik… itu sudah cukup. Jadi kita teruskan sahaja. Kalau ada orang nak menilai atau mengkritik, biarlah.
“Saya pun sebenarnya tidak baca sangat komen. Lebih baik saya teruskan hidup dan ‘move on’,” katanya.
Syafie berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media drama bersiri Hello Bam Bam di KopiHut Sri Rampai semalam.
Berkongsi tentang caranya menjaga kesihatan mental, Syafie memberitahu dia kini lebih berhati-hati dalam memilih bahan untuk dibaca di media sosial.
“Sepanjang 20 tahun dalam industri, saya sudah sampai ke satu tahap di mana saya hanya suka tengok video atau ‘scroll’, tetapi saya tidak akan baca komen. Itu salah satu cara untuk saya jaga mental.
“Dalam Hello Bam Bam sendiri, kita ada selitkan beberapa tip atau cara untuk menguruskan mental kerana kita tahu sekarang ini kita hidup dalam dunia yang penuh dengan penilaian dan kecaman. Jadi, inilah cara saya jaga diri.
“Kalau saya tahu ada isu panas atau kontroversi, saya pilih untuk elak baca. Kalau nampak perkara sensitif, saya terus ‘scroll’. Supaya saya tak terbaca komen atau rasa terkesan dengan benda yang boleh menjejaskan mental,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Syafie turut membawakan watak Awin, seorang lelaki lembut, dalam drama Hello Bam Bam yang bakal ditayangkan di aplikasi TikTok tidak lama lagi. Drama tersebut turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Azwan Ali, Maria Farida, Sofi Jikan, Kodi Rasheed dan Abang Aji.