Walaupun kita hidup dalam zaman moden, kepercayaan terhadap kuasa alam dan semangat ghaib masih tersisa dalam sebahagian masyarakat.
Ritual pemujaan yang dulunya dianggap sebagai cara menghormati alam kini sering dikaitkan dengan unsur mistik, malah ada yang dikatakan menyeru sesuatu yang tidak kelihatan.
Advertisement
Berikut antara lima ritual pemujaan yang pernah disebut dalam budaya Nusantara, ada yang bersifat tradisi, dan ada yang dikaitkan dengan sesuatu yang lebih gelap.
Puja Pantai

Ritual yang terkenal di negeri Pantai Timur, khususnya Terengganu dan Kelantan ini diamalkan sejak turun-temurun dalam kalangan masyarakat nelayan.
Tujuannya adalah untuk memohon perlindungan daripada malapetaka laut serta memperoleh hasil tangkapan yang banyak.
Biasanya upacara dilakukan di tepi pantai menjelang musim tengkujuh, dengan persembahan makanan, bunga dan bacaan jampi.
Namun, dalam sesetengah kisah lisan, sesajian yang dihanyutkan ke laut bukan sekadar tanda syukur, tetapi juga permintaan.
Ada yang percaya, setiap hajat yang dilempar ke ombak akan didengar oleh sesuatu, makhluk laut yang kononnya mampu ‘memakbulkan’ permintaan manusia, dengan syarat tertentu.
Puja Kera

Dikenali di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, ritual ini dulunya dijalankan oleh masyarakat luar bandar untuk menghalau gangguan haiwan liar seperti kera yang merosakkan tanaman.
Persembahan buah-buahan dan nasi kunyit menjadi lambang ‘perdamaian’ dengan roh penjaga hutan.
Sesetengah kisah mendakwa, sesiapa yang berani menuntut kekayaan melalui ritual ini akan mendapatkannya, tapi tidak lama, kerana setiap pemberian itu menuntut penggantian.
Puja Kubur / Keramat

Ritual paling meluas di seluruh negara, dilakukan oleh mereka yang menziarahi makam lama atau kubur keramat untuk memohon sesuatu, sama ada kesembuhan, jodoh, atau petunjuk hidup.
Biasanya ia dilakukan dengan membawa bunga, air mawar, atau bacaan tertentu.
Namun, cerita misteri sering timbul apabila individu yang ‘berjanji’ di situ mula diganggu dengan mimpi aneh atau bayangan sosok berjubah putih yang datang menuntut janji lama.
Puja Gunung

Antara lokasi popular dikaitkan dengan ritual ini ialah di Gunung Ledang di Johor dan Gunung Jerai di Kedah.
Gunung dianggap tempat suci dan menjadi lokasi persemadian roh penjaga alam.
Sesetengah pengamal spiritual naik ke puncak untuk bersemedi, mencari kekuatan dalaman, malah ada yang mendakwa memperoleh ‘ilmu ghaib’.
Cerita turun-temurun menyebut ada yang kembali dengan rezeki luar biasa, tapi hidup mereka tidak pernah tenang selepas itu.
Puja Padi

Puja Padi pernah menjadi ritual penting dalam kalangan petani di Kedah, Perlis dan Kelantan bagi menghormati semangat padi. Ia bertujuan memastikan hasil tuaian subur dan tidak diserang wabak.
Namun, pengaruh kepercayaan luar dan niat terselindung segelintir individu menjadikan upacara ini berubah arah, daripada simbol kesyukuran kepada ritual memohon kekayaan segera.
Di sebalik pelbagai bentuk pemujaan ini, kisah paling banyak diceritakan datang dari laut.
Penduduk pesisir pantai pernah mendakwa wujud satu ‘makhluk halus’ yang menjadi penunggu di kawasan tertentu.
Ia digambarkan seperti sosok wanita berpakaian persis puteri, muncul hanya pada malam tertentu ketika laut bergelora.
Tiada bukti jelas tentang kewujudan entiti ini, namun menurut cerita lisan, makhluk tersebut dikatakan mampu merealisasikan sebarang hajat manusia, dengan satu syarat, setiap permintaan mesti dibayar dengan sesuatu yang sangat berharga.