Skip to main content

Hiburan

Dari ‘Side Character’ Ke Layar Perak, MONSTA Kongsi Bagaimana Tercetusnya Idea Untuk Hasilkan Papa Zola The Movie

Papa Zola The Movie

Sekilas

  • Papa Zola The Movie mendapat sambutan hangat dengan ribuan peminat hadir ke tayangan awal walaupun belum ditayangkan secara rasmi.
  • Filem animasi ini menampilkan watak Papa Zola sebagai seorang dewasa dengan tema kedewasaan yang dekat dengan kehidupan seharian, berbeza daripada francais seperti BoboiBoy.
  • MONSTA menghasilkan filem ini selepas menerima maklum balas positif daripada siri pendek Papa Zola di YouTube, dan filem ini akan mula ditayangkan pada 11 Disember di pawagam seluruh negara.

Belum pun ditayangkan secara rasmi namun, Papa Zola The Movie mendapat respon yang positif apabila ribuan peminat hadir memberikan sokongan terhadap filem animasi tersebut.

Mempunyai sedikit perbezaan berbanding francais seperti BoboiBoy dan Mechamato, Papa Zola The Movie merupakan satu bentuk kelainan yang ingin diketengahkan MONSTA dengan watak dewasa dijadikan sebagai tunjang utama filem.

Menurut Nizam Razak selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MONSTA yang juga penyumbang suara bagi karakter Papa Zola, kelainan yang ingin mereka ketengahkan itulah yang menjadi keistimewaan terhadap Papa Zola The Movie.

“Perbezaan dan kelainan bagi filem Papa Zola ialah kita ketengahkan karakter Papa Zola yang merupakan seorang dewasa.

Kami selitkan juga topik dan tema kedewasaan yang dekat dengan kehidupan seharian,” kongsinya.

Berkongsi mengenai proses pembikinan filem, Nizam yang menggambarkan Papa Zola sebagai karakter kelakar mengakui agak mencabar untuknya dan pasukan menambah pendekatan emosi agar ianya sejajar dengan jalan cerita yang ingin mereka sampaikan.

“Watak ini adalah watak yang beremosi (grounded) jadi sebab itu kami tambahkan elemen simulasi dalam filem.

“Ada sedikit perbezaan dari segi penulisan skrip dan pengarahan sebab karakter Papa Zola ini kelakar.

“Jadi, untuk kami memasukkan elemen emosi dan bagaimana dia berinteraksi dengan setiap jalan cerita itu sangat mencabar,” ujarnya.

Ketika ditanya bagaimana tercetusnya idea untuk membawa karakter Papa Zola ini ke layar perak, Nizam berkata semuanya bermula daripada maklum balas penonton selepas penghasilan BoboiBoy The Movie 2 pada 2019 yang lalu.

Ujar Nizam, sebahagian peminat merasakan karakter Papa Zola yang kelakar seakan tidak begitu menyatu dengan ton serius filem tersebut.

Selain itu, MONSTA turut merasakan kesukaran untuk menonjolkan karakter Papa Zola dalam filem tersebut dengan adanya lambakan karakter lain seperti Gopal, Adudu dan Probe.

“Tercetusnya idea untuk hasilkan Papa Zola The Movie apabila ada feedback daripada peminat yang tidak berapa gemar karakter ini berada di dalam filem BoBoiBoy The Movie 2 pada 2019 lalu.

“Bila BoBoiBoy masuk mood serius dalam filem itu, Papa Zola akan menyampuk dengan lawak-lawak dia. Ada yang tak berapa minat.

“Ditambah pula dengan lambakan karakter dalam filem BoboiBoy seperti Gopal, Adudu, Probe dan sebagainya. Jadi kami rasa memang tak akan ‘muat’ kalau kami letak semua karakter dalam satu filem,” katanya.

Susulan itu, MONSTA mengambil keputusan untuk menghasilkan drama bersiri khas buat Papa Zola dan hasilnya, mereka mendapat respon positif daripada peminat.

Selepas beberapa siri kejayaan, MONSTA kemudiannya mengambil keputusan untuk mencuba nasib dan hasilnya, Papa Zola The Movie berjaya dihasil dan ditayangkan selepas tiga tahun pembikinan.

“Jadi MONSTA ambil keputusan untuk keluarkan Papa Zola dan hasilkan drama bersiri untuk dia sahaja. Kami cuba secara kecil dahulu di mana kami hanya menghasilkan video serta siri pendek dan dimuat naikkan di platform YouTube.

“Selepas beberapa siri kecil dikeluarkan, kami mendapat feedback sangat baik dari peminat yang mengatakan mereka dapat rasai tema kekeluargaan dalam siri animasi Papa Zola.

“Sejak itu, kami rasakan Papa Zola boleh diketengahkan sebagai satu bentuk filem sebab mendapat maklum balas yang baik serta adanya bahan terbaik dari segi penulisan skrip dan pengarahan,” katanya lagi.

Pada Jumaat, telah berlangsungnya tayangan awal bagi Papa Zola The Movie yang dibanjiri oleh ribuan peminat yang berjaya mendapatkan tiket tayangan awal.

Kehadiran ribuan peminat itu juga menunjukkan bahawa karakter Papa Zola ini begitu dekat dengan jiwa peminat meskipun merupakan karakter seorang dewasa.

Secara keseluruhan, filem ini merupakan hasil idea yang ‘fresh’ sekaligus sangat menarik untuk ditonton seisi keluarga.

Filem Papa Zola The Movie: Game On ini juga boleh dikategorikan sebagai antara naskhah paling hebat pernah dihasilkan MONSTA.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tiket dan menontin filem Papa Zola The Movie: Game On yang akan mula ditayangkan 11 Disember ini di pawagam berdekatan anda.

Must-Watch Video

Advertisement