Sekilas
- Program digital Apron Ramadan iLINDUNGu menampilkan selebriti seperti Liza Abdullah, Lisdawati, Farez Adnan dan Muka Gangster memasak bersama ibu mereka sambil berkongsi momen istimewa Ramadan.
- Setiap episod tiga minit memaparkan hidangan kegemaran keluarga dan mengangkat nilai kekeluargaan serta penghargaan terhadap pengorbanan ibu dalam suasana Ramadan.
- Apron Ramadan disiarkan setiap Jumaat hingga Ahad sepanjang Ramadan di media sosial rasmi PERKESO, dengan pertandingan berkongsi pengalaman dan ganjaran duit raya untuk komen paling kreatif.
Ramadan tahun ini hadir dengan sentuhan yang lebih peribadi apabila beberapa nama selebriti tanah air memilih untuk berkongsi momen istimewa bersama insan paling penting dalam hidup mereka iaitu ibu.
Menerusi program digital Apron Ramadan iLINDUNGu, penonton dibawa menyaksikan sisi berbeza selebriti seperti Liza Abdullah, Lisdawati, Farez Adnan dan pempengaruh Muka Gangster yang turun ke dapur bersama ibu masing masing.
Dihoskan oleh pempengaruh makanan yang semakin dikenali, Afiq Rahim, program ini menampilkan suasana santai penuh gelak tawa serta momen yang menyentuh hati. Setiap episod berdurasi tiga minit memaparkan hubungan ibu dan anak ketika menyediakan hidangan kegemaran keluarga sepanjang Ramadan.

Liza Abdullah tampil bersama anaknya, Naqib, menyediakan Daging Salai Masak Lemak Cili Padi, Sambal Udang Petai dan Bubur Cha Cha. Lisdawati pula bergandingan dengan anaknya memasak Ayam Masak Kicap, Bihun Goreng dan Prata Pizza yang menggambarkan gabungan rasa tradisi dan moden.
Farez Adnan bersama ibunya yang dikenali sebagai Makcik Petir menyajikan Rendang Nasib Campur, Lodeh dan Cocktail Ribena Laici Soda yang cukup mengundang selera. Sementara itu, Muka Gangster dan ibunya memilih Kari Kambing, Tosey dan Payasam sebagai menu istimewa.


Program ini bukan sekadar tentang masakan. Ia mengangkat nilai kekeluargaan dan penghargaan terhadap pengorbanan ibu dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan. Di sebalik jadual seni yang padat, momen di dapur ini menjadi ruang untuk selebriti kembali menjadi anak dan menghargai setiap detik bersama ibu.
Apron Ramadan mula bersiaran pada 20 Februari 2026, setiap Jumaat hingga Ahad sepanjang Ramadan menerusi saluran media sosial rasmi PERKESO di Instagram, Facebook dan TikTok.
Penonton turut berpeluang menyertai pertandingan dengan berkongsi pengalaman bersama PERKESO di ruangan komen. Komen paling kreatif dan berimpak akan dipilih sebagai pemenang dan menerima ganjaran duit raya.
Dalam kesibukan dunia hiburan, program ini mengingatkan bahawa dapur adalah tempat paling jujur untuk melihat kasih seorang ibu dan anak. Ramadan kali ini bukan hanya tentang juadah berbuka, tetapi tentang memori yang terus hidup dalam setiap hidangan.