Sekilas
- Brigitte Bardot, ikon legenda dan simbol seks Perancis pada 1950-an, meninggal dunia pada usia 91 tahun.
- Beliau terkenal menerusi filem And God Created Woman dan kemudian aktif sebagai aktivis haiwan.
- Presiden Perancis Emmanuel Macron mengucapkan takziah, manakala Bardot juga pernah terlibat kontroversi termasuk disaman anak lelakinya sendiri.
Perancis kehilangan seorang bintang legenda yang juga pernah dilabelkan sebagai simbol seks pada zaman kegemilangannya, Brigitte Bardot yang meninggal dunia pada usia 91 tahun.
Kematian Bardot yang terkenal menerusi filem And God Created Woman diumumkan Bardot Foundation pada Ahad, lapor The Guardian.
Bardot pernah menjadi simbol seks pada tahun 1950-an dan terlibat dengan lebih 50 filem sebelum meninggalkan dunia seni dan bergelumang sebagai aktivis haiwan.
Sebaik berita kematiannya tersebar, Bardot menerima belasungkawa dari seluruh dunia dan tokoh penting.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menzahirkan ucapan takziah dengan menyifatkan Bardot sebagai seorang legenda dengan lambang kebebasan dan insan bijak.
Dalam sepanjang kehidupannya, Bardot berdepan dengan beberapa kontroversi termasuk disaman anaknya sendiri kerana tersinggung dengan ucapan wanita yang melahirkannya itu.
Anak lelakinya, Nicholas menyaman Bardot selepas bintang itu mengaku ‘lebih baik melahirkan anak anjing berbanding anaknya’.
Pemilik nama sebenar Brigitte Anne-Marie Bardot itu juga pernah mengaku ingin menggugurkan Nicholas yang merupakan anak hasil perkahwinan keduanya bersama aktor Jacques Charrier.