Bekas ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi mendedahkan dia kini bersedia untuk menceburi dunia lakonan selepas mengumumkan persaraan daripada arena sukan pada 2022.
Advertisement
Farah, 31, berkata, minatnya terhadap seni lakon semakin mendalam sehingga dia sudah mula mengikuti kelas lakonan sebagai langkah awal memperkenalkan diri dalam industri.
“Saya harap ada tawaran berlakon pada masa akan datang sebab saya memang nak ceburi bidang ini. Saya sudah mula masuk kelas lakonan dan cuba untuk perkenalkan diri dalam industri ini,” katanya kepada Gempak ketika ditemui pada tayangan perdana drama Generasi Perfect 10 di ibu kota, malam Khamis.
Menurut Farah, minat terhadap seni lakon sebenarnya sudah lama wujud dalam dirinya sejak zaman persekolahan.
“Masa sekolah dulu saya selalu masuk teater, drama sampai ada yang cakap kalau saya bukan atlet, mungkin saya dah jadi pelakon. Saya harap masih ada peluang itu,” kongsinya.
Ditanya mengenai watak idaman, Farah berkata dia lebih cenderung kepada karakter aksi, namun tetap terbuka untuk mencuba pelbagai jenis peranan.
“Saya suka watak aksi dan masih boleh melompat lagi. Tapi buat masa ni saya nak cuba pelbagai watak. Apa yang penting saya boleh menjiwai watak itu dengan baik,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dia menjadikan pelakon terkenal Lisa Surihani dan Diana Danielle sebagai sumber inspirasi.
“Saya suka tengok lakonan Lisa Surihani dan Diana Danielle, mereka sangat mendalami watak dan berjaya buka mata saya tentang dunia seni,” ujarnya.
Untuk rekod, Farah mengumumkan persaraannya daripada dunia gimnastik pada tahun 2022 selepas lebih dua dekad mewakili negara.
Sepanjang karier, Farah mencipta pelbagai kejayaan membanggakan termasuk layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020, selain menjadi antara gimnas paling berjaya dalam sejarah Sukan SEA dengan tujuh pingat emas menerusi penampilan di Singapura (2015), Kuala Lumpur (2017) dan Manila (2019).