Sekilas
- Allan Andersn pernah mengalami kesusahan kewangan sehingga hanya tinggal 40 sen ketika menyiapkan lagu Rindu.
- Lagu Rindu mula viral selepas Allan membuat rakaman content di lapangan terbang Surabaya dan mendapat sambutan meluas hingga ke Malaysia.
- Lagu ciptaan Allan, Senafas, menjadi salah satu OST drama Setiaku Berdiri yang baru ditayangkan.
Siapa sangka, di sebalik kejayaan yang dikecapi hari ini, penyanyi Indonesia, Allan Andersn pernah melalui fasa sukar dalam hidup sewaktu dirinya mula-mula menapak dalam industri hiburan.
Menurut Allan, dia pernah kehabisan wang sehinggakan duit simpanannya hanya berbaki 40 sen sewaktu menyiapkan lagu Rindu.
“Saya jarang bercerita tentang kesulitan hidup di Instagram kerana bukan jenis yang suka menjual cerita sedih.
“Tapi saya ingat waktu terbitkan lagu Rindu, duit saya di bank selepas bayar kos buat lagu hanya tinggal 1,600 rupiah, bersamaan 40 sen saja.
“Selama dua minggu saya hanya makan mi segera sehingga diserang gastrik. Waktu itu hanya saya yang tahu betapa susahnya keadaan yang terpaksa dilalui,” katanya kepada Gempak.
Allan berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi sidang media drama Setiaku Berdiri yang diadakan di Paxtonz by Byon, Damansara pada Khamis.
Bercerita lanjut, Allan memaklumkan dia kemudiannya terus cekal meneruskan kehidupan sebagai penyanyi meskipun lagu Rindu pada awalnya tidak mendapat sambutan.
Sehinggalah satu hari, rezeki datang bergolek buat Allan selepas lagunya itu tular bukan sahaja di Indonesia malah mendapat sambutan meluas hingga ke Malaysia.
“Memang masa itu tiada duit dan lagu Rindu pun susah sangat nak naik. Bayangkan sebulan hanya 10,000 kali distrim.
“Saya dapat tawaran kerja di Surabaya dan bila dapat deposit saja, saya terus pergi makan stik,” ujarnya.
“Selepas persembahan di sana, saya rakam content di lapangan terbang Surabaya sebelum ke Bali guna lagu Rindu.
“Sampai saja di Bali, saya dapat banyak notifikasi orang guna lagu itu dan tiba-tiba saja lagu tersebut viral.
“Saya tak sangka ia sampai masuk Billboard Top 10 Indonesia. Kemudian saya bertemu pengurus dari Malaysia dan sejak itu, rezeki saya makin baik,’ kongsinya.
Dalam perkembangan lain, lagu ciptaan dan nyanyian Allan yang berjudul Senafas merupakan salah satu daripada tiga lagu yang menjadi OST bagi drama Setiaku Berdiri.