Pelakon, Beego akhirnya tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan mengaitkan dirinya sebagai selebriti lelaki yang kononnya dilihat menari di sebuah kelab malam sekitar Ogos lalu.
Menurut Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, video tular itu merupakan video lama yang dirakam ketika menghadiri sambutan hari jadi seorang rakan di sebuah pusat karaoke dan bukan kelab malam seperti yang didakwa.
Advertisement
“Saya memang tak pergi kelab malam, dah bertahun. Kalau nak tahu itu adalah video menghadiri majlis hari jadi di pusat karaoke eksklusif.
“Saya bukan budak-budak nak pergi kelab malam, saya pergi pusat karaoke pun yang ‘high end’.
“Bagi saya tak salah pun nak ke majlis hari jadi. Cuma saya minta kalau ada video saya dekat kelab, tunjukkan bukti,” katanya.
Beego berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, pada Rabu.
Beego hadir ke mahkamah bagi penetapan tarikh pengesahan lafaz taklik.
Tambah Beego lagi, sebagai seorang yang sudah lama dalam industri hiburan, dia sentiasa menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan.
“Bila ada di antara mereka datang Kuala Lumpur dan buat majlis hari jadi anak-anak, saya rasa tak salah untuk hadir.
“Kejadian dalam video itu dah lama, dah beberapa tahun lepas,” ujarnya.
Terdahulu, pada Ogos lalu, tular kisah mengenai seorang aktor dan penyanyi yang dikatakan kerap dilihat berhibur di kelab malam.
Laporan itu turut mendakwa selebriti terbabit sedang berdepan masalah rumah tangga.
Susulan laporan itu, ramai netizen meneka individu berkenaan ialah Beego memandangkan kes perceraian antara dia dan Linda masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.
Linda memfailkan cerai terhadap Beego pada awal Januari lalu dengan alasan tiada persefahaman.
Untuk rekod, Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.