Skip to main content

Hiburan

Bapa Tiri Haqimi Azim, Daddy Rock Meninggal Dunia

Haqimi Azim

Sekilas

  • Pelakon Daddy Rock, terkenal dengan watak gangster, telah meninggal dunia pada pagi Selasa seperti dimaklumkan oleh anak tirinya, Haqimi Azim.
  • Jenazah Daddy Rock atau Shahrul Azman Mohd Shahril akan disemadikan di tanah perkuburan Bukit Lagong, Sungai Buloh.
  • Daddy Rock menerima rawatan di zon kritikal Hospital Selayang akibat komplikasi darah beku dan pernah menjalani prosedur memasukkan sten pada 2021.

Pelakon yang terkenal menerusi watak gangster iaitu Daddy Rock disahkan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pagi Selasa.

Berita sedih itu dimaklumkan sendiri anak tirinya yang juga penyerang Harimau Malaya B-23 iaitu Haqimi Azim menerusi hantaran di Instastory.

“Saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa papa saya telah meninggal dunia pagi tadi. Pemergiannya sangat mengejutkan dan berat untuk kami sekeluarga terima, tetapi kami reda dengan ketentuan Allah.

“Saya mohon jasa baik semua untuk mendoakan arwah papa-semoga Allah mengampunkan dosanya, menerima segala amalnya, dan memberikan tempat yang indah buatnya di sisi-Nya.

“Doakan juga agar kami sekeluarga diberi ketabahan dan kekuatan melalui saat sukar ini. Terima kasih atas doa dan sokongan semua,” kongsinya.

Haqimi turut memaklumkan bahawa jenazah Daddy Rock atau nama sebenarnya Shahrul Azman Mohd Shahril akan disemadikan di tanah perkuburan Bukit Lagong, Sungai Buloh.

Menerusi satu perkongsian lain, Haqimi yang sedang mewakili negara bagi temasya Sukan SEA 2025 di Thailand dilihat sedang berada di lapangan terbang dan difahamkan sedang dalam perjalanan untuk memberi penghormatan terakhir buat arwah.

Terdahulu, pengarah Hashim Rejab memaklumkan Daddy Rock menerima rawatan di zon kritikal Hospital Selayang dan ditidurkan berikutan kedua-dua kakinya tidak lagi berfungsi dipercayai akibat darah beku pada Sabtu.

Pada Oktober 2021, Daddy Rock menjalani proses memasukkan sten di pusat perubatan di Bukit Rimau, Shah Alam bagi mengembangkan saluran darah yang tersumbat supaya jantungnya boleh berfungsi semula.

Sumber: Instastory Haqimi

Must-Watch Video

Advertisement