Skip to main content

Berita Tempatan

Azharina Sedia Terjun Bidang Politik, Tapi Ada Syaratnya! - "Ya, Saya Pernah Ditawarkan Untuk ..."

azharina_politik

Penyanyi Azharina Azhar tidak menolak kemungkinan menceburi bidang politik pada masa akan datang sekiranya menerima peluang dan sokongan masyarakat.

Namun, buat masa ini, Azharina, 40, memilih untuk memberi tumpuan penuh kepada kerjaya seninya serta tanggungjawab sebagai ibu tunggal.

Advertisement

“Kalau diberi peluang ke bidang politik satu hari nanti, Insya-Allah saya terbuka asalkan ada sokongan ramai,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaharunya Gunung Kinabalu di Zebra Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut penyanyi kelahiran Sabah itu, dia tidak gentar bersuara memperjuangkan hak rakyat meskipun berisiko berdepan kritikan atau sekatan.

“Saya buat kerja seikhlas hati. Kalau perjuangan untuk rakyat sampai terpaksa digam sekalipun, saya tidak kisah. Saya berjuang bukan kerana duit semata-mata,” jelasnya.

Azharina mendedahkan pernah menerima beberapa tawaran menyertai politik sebelum ini, namun menolaknya kerana merasakan dirinya belum bersedia.

“Ya, saya pernah ditawarkan sebelum ini untuk sertai politik, tetapi saya rasa belum cukup bersedia. Untuk jadi wakil rakyat, perlukan banyak duit. Saya pula bukan orang kaya, cuma seorang ibu tunggal,” katanya.

Mengulas pandangan segelintir pihak bahawa artis tidak layak bergelar wakil rakyat, Azharina berpendapat masyarakat perlu lebih terbuka kerana di Indonesia, ramai selebriti berjaya membawa suara rakyat, antaranya penyanyi popular Krisdayanti.

Beliau turut menjadikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta penyanyi Bella Astillah sebagai contoh inspirasi.

“Sepanjang bersama Syed Saddiq, Bella banyak membantu mendapatkan dana untuk rakyat di Muar. Itu contoh yang baik untuk kita,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Azharina baru sahaja melancarkan single duet bersama Daniesh Suffian berjudul Gunung Kinabalu, sempena sambutan Hari Malaysia pada 3 September lalu. Lagu ini kini boleh distrim di semua platform digital utama.

Must-Watch Video