Sekilas
- Putra Ahmad Merrah, anak sulung vokalis legenda Dato Awie, semakin dikenali selepas berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam lagu Senja Nan Merah.
- Awie mahu Putra membina karier sendiri dan tidak akan membawa anaknya menyertai kumpulan Wings atau persembahan konsert Wings Orang Kita pada 30 Januari di Zepp Kuala Lumpur.
- Konsert Wings Orang Kita akan menampilkan dua anggota baru, empat lagu baharu, dan kategori Rockzone Seating dengan harga RM298 sebagai pembaharuan era Wings.
Seperti perumpamaan ‘ke mana tidak tumpahnya kuah jika tidak ke nasi’, begitulah juga bakat menyanyi yang semakin terserlah dalam diri anak lelaki vokalis legenda negara, Dato Awie iaitu Putra Ahmad Merrah.
Merrah yang merupakan anak sulung Awie mula menarik perhatian malah aksinya berduet bersama biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendendangkan lagu Senja Nan Merah dalam sebuah acara baru-baru membuatkan namanya semakin mendapat sebutan.
Disifatkan mempunyai potensi besar dalam dunia hiburan pada masa akan datang, Awie bagaimanapun memberitahu mahu melihat Merrah mencorak kariernya sendiri.
Awie yang bakal melakukan Konsert Wings Orang Kita di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Januari ini juga enggan membawa Merrah menyertai kugiran tersebut dalam mana-mana persembahan pentas Wings.
“Saya tidak mahu. Tidak mahu Merrah sertai Wings atau bawa dia dalam persembahan pentas Wings termasuk di Konsert Wings Orang Kita.
“Biar dia cari rezeki dia, saya cari rezeki saya. Namun saya akan menyokong karier Merrah,” ujar Awie saat ditemui pada acara Konsert Wings Orang Kita yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.
Sementara itu, bercakap tentang konsert anjuran Rumah Produksi Merah (RPM), Awie memberitahu selain disertai dua anggota baharu Wings, Pae dan Am secara rasmi, Konsert Wings Orang Kita akan menyaksikan kuguiran tersebut membawa empat lagu baharu.
“Kami tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang dalam konsert yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Januari ini.
“Selain lagu-lagu lama yang sukar dilepaskan kerana permintaan tinggi, Wings akan memainkan empat lagu baharu. Ini termasuk Yes, I Know, Khalifah Empat dan Sang Kekasih,” katanya seperti dilaporkan Awie.
Malah konsert yang disifatkan sebagai era baharu Wings ini turut memperkenalkan kategori baharu iaitu Rockzone Seating pada harga RM298.