Sekilas
- Auddra Zulkifli, anak kepada Sharifah Shahirah, berkongsi momen paling dinantikan setiap kali Aidilfitri iaitu sesi bermaaf-maafan bersama ibu bapa.
- Dia dan ibunya sering menitiskan air mata ketika salam raya sebelum suasana kembali ceria dengan aktiviti makan dan bermain mercun.
- Auddra sangat suka rumah penuh dengan kehadiran orang ramai semasa raya kerana ia membuatkan suasana lebih meriah dan hidup.
Anak kepada pelakon dan pengacara terkenal, Sharifah Shahirah iaitu Auddra Zulkifli, berkongsi momen paling ditunggu setiap kali tibanya sambutan Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Menurut Auddra atau lebih mesra dengan panggilan Oddah, antara detik paling dinantikan adalah sesi bermaaf-maafan bersama kedua ibu bapanya.
“Momen yang paling saya tunggu setiap kali nak raya adalah menangis, sebab keluarga kami ini penuh drama.
“Bila tiba waktu salam raya dengan mama papa, pun boleh terus menangis, mohon maaf sambil menangis teresak-esak,” katanya kepada Gempak.
Tambah Oddah lagi, bukan sahaja dirinya yang mudah tersentuh, malah ibunya juga turut sama menitiskan air mata ketika momen tersebut berlaku.
“Bukan saya sahaja, mama pun sama menangis, tetapi apabila lepas bersalaman dan dapat duit raya, kami terus jadi macam biasa.
“Menangis, makan, main mercun. Seronok dapat berkumpul ramai-ramai waktu raya. Saya sangat suka bila orang datang ke rumah.
“Sebab rumah itu nampak ‘hidup’, meriah dengan kehadiran orang ramai, saya tak suka rumah nampak kosong, nampak boring dan tak ceria,” jelasnya.