Sekilas
- Penyanyi Auddra meluahkan rasa sedih melihat Marsya Qistina, juara Talk To My Manager, dikecam dan dibuli siber walaupun berusaha keras dalam kerjaya nyanyian dan pelajaran.
- Auddra memuji bakat dan sikap baik Marsya serta mempersoalkan kurangnya empati netizen terhadap perjuangan Marsya mengimbangi belajar dan menyanyi.
- Liza Hanim, ibu Marsya, telah membuat laporan polis dan aduan kepada MCMC bagi tindakan terhadap buli siber yang dihadapi anaknya.
Penyanyi Auddra meluahkan rasa sedih apabila melihat rakan seperjuangannya dalam program Talk To My Manager (TTMM), Marsya Qistina, berdepan kecaman dan buli siber di media sosial.
Menurut Auddra atau lebih dikenali sebagai Oddah, 17, Marsya bukan sahaja berbakat besar, malah seorang yang bijak dan baik hati.
“Saya rasa sedih sangat. Marsya seorang budak yang sangat bijak dan baik. Dia tak layak kena kecam macam tu.
“Vokal dia sangat hebat, kalau dengar dia menyanyi depan-depan memang boleh meremang bulu roma.
“Dia dah cuba buat yang terbaik sebagai penyanyi. Masa sidang media Talk To My Manager, dia dah cakap dia usaha kuat nak jadi penyanyi yang baik.
“Bila dia menang, dia sangat gembira, tapi bila netizen kecam, dia jadi sangat sedih dan ‘down’,” katanya.
Auddra turut mempersoalkan sikap segelintir netizen yang seolah-olah kurang empati terhadap Marsya.
“Banyak orang kata kenapa saya dan Thalita banyak ‘job’. Kami pun tertanya-tanya, kenapa netizen tak kesian dekat Marsya? Dia belajar kuat, menyanyi kuat.
“Bukan senang nak imbangi belajar dengan menyanyi sekali gus. Saya sangat hormat pada Marsya,” ujarnya lagi.
Auddra berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Dentam Dentum Raya di UTM Hotel & Recidence, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam masa sama, Auddra berharap Marsya terus kuat menghadapi ujian tersebut walaupun mereka kini jarang berhubung kerana komitmen kerja masing-masing.
“Buat masa sekarang kami tak ada berbalas mesej sangat. Saya pun sibuk dengan kerja dan drama. Saya harap dia okay. Saya, Ammar dan Hadie sentiasa doakan dia. Lepas ni mungkin saya akan hubungi dia,” katanya.
Sebelum ini, penyanyi Liza Hanim dilaporkan membuat laporan polis berhubung tindakan segelintir netizen yang membuli anaknya, Marsya Qistina di media sosial.
Liza, 46, turut memaklumkan akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pemilik akaun terlibat.
Terdahulu, Liza berkongsi mengenai situasi Marsya yang didakwa dibuli selepas ada pihak mempertikaikan kredibilitinya sebagai juara program Talk To My Manager musim pertama, walhal anaknya kini sedang berusaha mengimbangi kerjaya seni dan jadual kuliah.