Sekilas
- Sabri Yunus menegaskan seni harus berlandaskan syariat Islam dan tidak boleh bebas sepenuhnya walaupun dalam konteks seni.
- Beliau membandingkan sensitiviti seni antara Barat dan Islam, menekankan pentingnya kesedaran terhadap batas agama dalam karya seni seperti teater dan lukisan.
- Sabri mencadangkan pelajar yang terlibat dalam pementasan kontroversi tidak dihukum tetapi dididik dengan ilmu agar semangat seni mereka tidak pudar.
Pelakon dan aktivis teater terkenal, Sabri Yunus berkongsi pandangannya berhubung isu tular membabitkan satu pementasan teater di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang didakwa menonjolkan babak tidak senonoh baru-baru ini.
Menurut pemilik nama Mohd Sabri Yunus ini, setiap pengkarya haruslah menghasilkan seni yang seiring dengan syariat serta berlandaskan agama.
“Pada saya, kita kena berbalik semula kepada agama kita iaitu Islam. Apa sahaja seni yang kita nak tunjukkan, mestilah bersandarkan dan berlandaskan hukum hakam di dalam agama.
“Walaupun seni itu dianggap bebas secara tidak langsung, namun seni di dalam Islam, ia tidak akan menjadi bebas.
“Saya selalu beri contoh, jika di barat, ada 20 orang pelukis dan di hadapan mereka ada seorang wanita berbogel. Lalu, mereka melukis tanpa ada sebarang ransangan.
“Namun, dalam sudut Islam pula, jika kita berada dalam situasi sama dan melukis tanpa ada rasa ransangan, tetap tidak boleh walaupun tiada perasaan,” katanya kepada Gempak.
Sabri berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Libang Libu yang berlangsung di TGV Mid Valley, Kuala Lumpur pada Khamis.
Sementara itu, pelakon yang popular menerusi watak Pok Ya Comg Codei ini turut memberikan perbandingan melibatkan seni yang ditonjolkan Barat serta Islam yang sama sekali berbeza dari segi sensitiviti masyarakat.
“Sebagai contoh, kalau di Barat, pelajar akan melukis orang yang sedang berbogel di hadapan mereka. Melukis untuk seni dan mereka bebas.
“Mereka melukis dengan tidak ada sebarang rasa rangsangan terhadap individu yang berbogel tadi. Mereka boleh buat, tanpa ada rasa apa-apa.
“Hasilnya cantik meskipun tidak ada sebarang rasa, tetapi pada kita tetap tidak boleh kerana batas walaupun atas alasan seni. Pada saya, sama ada melukis, teater atau apa sahaja mesti ada kesedaran sendiri terhadap batas-batas itu,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, suami kepada pelakon Angeline Tan ini berharap agar isu ini dapat dijadikan pengajaran supaya tidak berlaku lagi di masa hadapan.
“Tak kisahlah sama ada dalam lukisan atau teater, kita kena ada kesedaran sendiri tentang batas-batas di dalam agama,” kongsinya.
Ketika ditanya adakah wajar pelajar yang terlibat diberikan hukuman, Sabri berpendapat mereka seharusnya dididik dengan ilmu agar semangat untuk memperjuangkan seni tidak pudar.
“Pada saya, mereka ini tidak perlu dihukum. Namun, mereka haruslah punyai kesedaran bila isu seperti ini berlaku. Nak menghukum pun tidak berguna kerana perkara itu sudah berlalu.
“Hukuman itu akan melemahkan lagi semangat pelajar-pelajar itu. Di universiti, mereka ini mahu belajar dan menuntut ilmu.
“Mereka seharusnya dihukum dengan ilmu juga,” katanya lagi.
Terdahulu, tular sebuah persembahan teater yang memaparkan babak intim di atas katil sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.