Sekilas
- Juliza, anak kepada Allahyarham Lan Zailan, berterima kasih atas sokongan dan penghargaan orang ramai terhadap bakat arwah bapanya.
- Juliza berkongsi bahawa tiada adik-beradik lain yang mengikuti jejak langkah arwah dalam bidang lakonan.
- Lan Zailan meninggal dunia pada 19 Disember 2025 akibat kanser pankreas tahap empat, dan perkongsian Juliza mendapat reaksi sebak daripada warganet.
Anak kepada pelakon, Allahyarham Lan Zailan yang dikenali sebagai Juliza meluahkan rasa terharu apabila arwah bapanya dikenali ramai.
Menerusi ciapan di Threads, Juliza mengakui dia dan keluarga tidak menyangka arwah bapanya dikenali ramai memandangkan perjalanan kariernya sebagai seorang anak seni bukanlah sesuatu yang mudah.
Dalam masa sama, Juliza turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang sentiasa menyokong serta menghargai bakat arwah bapanya.
“Knowing my father how struggle he is in this line, kami tak sangka dia dikenali.
“Kepada yang nampak jerih perih dia, sokong dia sepanjang keberadaan dia, kami ucapkan terima kasih.
“Yang sentiasa mendoakan dan sentiasa menghargai bakatnya, terima kasih,” luah Juliza.
Menerusi perkongsian yang sama, Juliza memaklumkan bahawa tiada seorang pun dalam kalangan adik-beradik yang mengikut jejak langkah arwah ayahnya dalam bidang lakonan.
“Hanya dia sahaja yang berada di line ini, kami anak beranak tidak dibenarkan sama sekali,” jelasnya.
Perkongsian itu kemudiannya mengundang sebak warganet yang rata-ratanya meluahkan rasa rindu melihat lakonan arwah Lan Zailan.
Sekadar info, Lan Zailan menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 19 Disember 2025 akibat kanser pankreas tahap empat.
Sumber: Threads