Sekilas
- Erra Fazira berkongsi pengalaman pertama bertemu anak bakal suaminya, Dania Sofia, yang sebaya dengan anaknya, Engku Aleesya, berumur 16 tahun.
- Kedua-dua anak itu dilihat selesa dan menerima antara satu sama lain, menghilangkan kebimbangan Erra tentang penerimaan anak dalam hubungan mereka.
- Erra dan Ezwan mengumumkan tarikh pernikahan mereka pada 12 Disember 2025 di Shah Alam, dengan majlis resepsi pada 13 Disember 2025.
Aktres, penyanyi dan hos, Erra Fazira, 51, berkongsi detik pertama pertemuan dirinya dengan anak bakal suami yang juga usahawan, lebih dikenali sebagai Mr. E, iaitu Dania Sofia, yang kebetulan sebaya dengan anak tunggalnya, Engku Aleesya, 16.
Menerusi episod sulung podcast mereka di YouTube, KasiOnz, Erra dan Ezwan mendedahkan bagaimana perkenalan awal kedua-dua anak itu berjalan lancar sekali sehinggakan mereka lebih yakin melangkah ke fasa seterusnya.
“Anak saya dan anak Ezwan umur sama, dua-dua 16 tahun.
“Perkenalan dengan Dania Sofia ikut bapa dia… jenis ‘extrovert’, suka cakap, bijak. Alhamdulillah dia boleh terima saya,” ujarnya.
Menurut Erra, penerimaan anak adalah perkara yang paling merisaukan dirinya sebelum ini.
Namun, kebimbangannya hilang apabila melihat kedua-dua anak itu selesa antara satu sama lain.
“Anak tiada halangan alhamdulillah… sebenarnya saya risau penerimaan anak.
“Saya melihat Aleesya pun melihat Uncle Ezwan sebagai seorang ‘uncle’ yang ramah, pandai ambil hati budak, jadi dia selesa.
“Saya rasa ‘first thing first’ kalau bercinta umur macam kita ni adalah penerimaan anak, itu yang penting… kemudian baru peringkat seterusnya,” katanya.
Sekadar info, Erra mempunyai seorang anak iaitu Engku Aleesya hasil perkahwinan terdahulu bersama Engku Emran.
Sementara itu, Ezwan pula, merupakan duda anak satu dan bapa kepada Dania Sofia.
Sebelum ini, Erra menamatkan spekulasi mengenai status hubungan mereka apabila mengumumkan bakal bernikah dengan Ezwan pada 12 Disember 2025 di Shah Alam, Selangor, manakala majlis resepsi akan berlangsung pada 13 Disember 2025.