Sekilas
- Ammar Haikal berkongsi momen sebak melihat kakaknya, Azeva Natassha, dan bapa mereka, Ameng Spring, beraksi bersama di konsert Talk To My Manager (TTMM2).
- Ammar terharu kerana sudah lama tidak dapat menyaksikan momen keluarga yang jarang berjumpa itu di depan mata.
- Dia menafikan dakwaan cemburu terhadap kakaknya dan menjelaskan ayah mereka juga pernah naik pentas tahun lepas.
Penyanyi, Ammar Haikal menjelaskan momen sebaknya ketika menyaksikan persembahan kakaknya, Azeva Natassha bersama bapa, Ameng Spring di konster minggu pertama program Talk To My Manager (TTMM2), Ahd lalu.
Menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok, Ammar berkata dia tidak dapat menahan sebak kerana sudah sekian lama tidak dapat menyaksikan momen bermakna itu di depan mata.
“Saya menangis sebab terharu tengok keluarga yang sebelum ini berpecah dan kurang berjumpa.
“Ayah saya juga nak melihat salah seorang daripada anak-anaknya masuk dalam industri seni.
“Saya ingat saya sahaja, rupanya ada kakak saya lagi seorang, jadi saya rasa terharu melihatnya,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Ammar menafikan dakwaan warganet yang mendakwa dia menangis kerana berasa cemburu melihat kakak dan bapanya bersama di atas satu pentas.
“Cemburu? Buat apa nak cemburu? Tahun lepas pun ayah saya atas pentas.
“Saya tak ada rasa cemburu pun dengan kakak saya,” katanya lagi.
Terdahulu, Ameng muncul di pentas TTMM2 sambil bermain gitar bagi mengiringi persembahan Azeva yang diuruskan bekas isteri, Datuk A Aida.
Sumber: TikTok