Sekilas
- Penyanyi Datin Alyah berkongsi kesedihan atas pemergian abangnya, Ameran Abu Hassan, yang meninggal dunia pada pagi Hari Raya Aidilfitri kedua.
- Alyah menyatakan lagu raya kumpulan The Fabulous Cats, Satu Syawal, sangat dekat dengan perasaannya tahun ini selepas kehilangan abangnya.
- Dia bersyukur sempat berjumpa dan bermaafan dengan arwah sehari sebelum raya, namun kini merindui ahli keluarga yang telah pergi terlebih dahulu.
Penyanyi Datin Alyah meluahkan rasa sedih atas kehilangan abangnya, Ameran Abu Hassan yang meninggal dunia pada pagi Hari Raya Aidilfitri kedua.
Menerusi perkongsian dalam Instagram, Alyah tidak menyangka lagu raya baharu kumpulannya The Fabulous Cats, Satu Syawal begitu dekat dengan situasi yang dilalui.
“Aku tak sangka lagu ini betul-betul kena pada aku Syawal tahun ini. Aku kehilangan seorang lagi abang yang pernah bekerja dengan aku, bawa aku pergi menyanyi cari rezeki ke sana sini,” luahnya.
Tambah Alyah, pemergian arwah memberi kesan mendalam sehingga dia tidak lagi merasai kemeriahan Aidilfitri seperti kebiasaan.
“Tahun ini perasaan lain, tak tahu nak digambarkan. Dalam fikiran aku cuma nak siapkan rumah mak untuk adik-beradik berkumpul. Tak terasa nak berbaju raya lawa pun,” katanya.
Menurutnya, dia bersyukur masih sempat bertemu arwah buat kali terakhir sehari sebelum Aidilfitri walaupun dalam keadaan tenat.
“Alhamdulillah aku dapat jumpa dia kali terakhir sehari sebelum raya. Kami sempat bermaafan dan aku cakap ‘Ija sayang abang chik’.
“Dan itulah kali terakhir,” ujarnya.
Alyah turut meluahkan kerinduan terhadap arwah serta ahli keluarganya yang telah pergi terlebih dahulu.
“Ya Allah, dua abang aku dah pergi dan aku tak tahu lagi lepas ini siapa.
“Peluklah abang-abang dan bapaku di sana. Semoga mereka tenang dan berada dalam rahmat-Mu,” katanya.
Terdahulu, Alyah berkongsi khabar duka apabila abangnya meninggal dunia pada pagi Syawal kedua, namun tidak mendedahkan punca kematian.