Anggota kumpulan Alpha, Ray-D mengakui mereka sudah bersedia untuk menjalani latihan intensif secara profesional termasuk nyanyian dan tarian di Korea.
Menurut Ray-D, peluang ini menjadi medan terbaik untuk mereka menimba pengalaman baharu dan memperkukuh keupayaan kumpulan sebelum tampil dengan projek seterusnya.
Advertisement
“Tujuan utama kami ke Korea adalah untuk menjalani latihan intensif, di mana kami akan memberi tumpuan kepada latihan tarian koreografi.
“Tidak mustahil juga akan ada lagu baharu yang bakal dihasilkan sepanjang kami berada di sana nanti.
“Dari segi persiapan di sini, bagi saya sendiri sudah hampir 80 peratus. Kami semua dalam kumpulan Alpha sangat teruja untuk berangkat ke Korea dan menimba sebanyak mungkin ilmu serta pengalaman baharu di sana,” katanya.
Ray-D berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran dan sidang media program Jaguh Rakan Muda bertempat di TGV, 1 Utama pada Selasa.
Sementara itu, anggota termuda Alpha, Afiq Sky pula berkongsi keterujaannya kerana bakal menjejakkan kaki ke luar negara buat pertama kali.
“Saya tidak pernah mengembara jauh sebelum ini, jadi perjalanan ke Korea akan menjadi satu pengalaman baharu buat saya, lebih-lebih lagi ke negara empat musim yang selama ini saya impikan.
“Memang tujuan utama kami ke sana adalah untuk menjalani latihan, namun dalam masa yang sama ia juga merupakan salah satu impian hidup saya yang akhirnya tercapai,” ujarnya teruja.
Untuk info, Alpha yang dianggotai Araff Mohamed, Afiq Sky, Daniel Sher, Ray-D, Ariel Fesol, Rizal Rasid dan Izat sering mencuri perhatian dengan gaya persembahan yang segar serta bertenaga.
Alpha akan menjalani latihan intensif di Korea selama tiga minggu.
Latihan itu akan dikendalikan oleh jurulatih profesional yang bakal memberikan pendedahan, terutama dalam memantapkan persembahan dan memperkukuh kemahiran vokal mereka.
Langkah mereka ke Korea dijangka membuka peluang lebih luas untuk membawa nama Alpha ke peringkat antarabangsa.