Sekilas
- Al Ghazali dan isteri Alyssa Daguise bakal menimang cahaya mata pertama pada Mei ini dan bersedia dari segi mental serta fizikal untuk tanggungjawab baru.
- Mereka sepakat membesarkan anak secara sederhana dan privasi, jauh dari dunia glamor, dengan membuka akaun Instagram yang dikunci untuk simpanan peribadi anak.
- Al mengambil langkah ini bagi melindungi anak daripada buli siber dan memberi kebebasan kepada anak jika mahu dikenali di masa depan.
Pelakon dan penyanyi Al Ghazali bakal bergelar bapa pada Mei ini apabila isterinya, Alyssa Daguise dijangka melahirkan anak sulung mereka.
Berbicara mengenai perasaan dan perancangan menjadi bapa, Al yang juga anak sulung Ahmad Dhani mengaku teruja serta mempersiapkan mental dan fizikal untuk memikul tanggungjawab baharu.
Menurutnya, salah satu persetujuan yang telah dicapai bersama isteri adalah untuk membesarkan calon anak mereka dengan sederhana sekaligus jauh daripada dunia glamor.
Kata Al, 28, keputusan itu diambil sebagai langkah menjaga mental dan memberi kehidupan yang normal sehingga dia memilih untuk ‘terbuka’.
“Setakat hari ini, saya dan Alyssa sudah sepakat untuk memberi kehidupan yang tertutup dan privasi buat calon anak kami.
“Saya sendiri sejak kecil telah terdedah dengan dunia glamor jadi saya tahu rasanya bagaimana menjadi tumpuan.
“Jadi untuk calon anak memang kami akan membesarkan dia dengan cara privasi sehingga pada satu saat jika dia sendiri yang ingin menonjolkan diri, dibenarkan.
“Anak juga punya hak jadi ya, dia berhak jika satu hari nanti mahu dikenali,” ujar Al yang ditemui di restoran Dewa 19 Java Rock Restography milik bapanya di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Meski memutuskan untuk anaknya hidup secara privasi, Al dan isteri tetap mengikut peredaran zaman dengan bakal membuka akaun Instagram buat anak perempuannya kelak.
“Kami akan buka akuan Instagram buat anak tapi hanya untuk menyimpan momen-momen manis dia sepanjang membesar.
“Sekali lagi, anak juga berhak, jika satu hari nanti dia mahu akaun tersebut dibuka kepada umum, ya silakan,” katanya.
Keputusan untuk mengunci akaun Instagram calon anaknya kelak diambil Al kerana melihat terlalu banyak kes buli cyber yang berlaku.
“Saya fikirkan soal walaupun anak kecil mereka tetap menerima komen negatif, buli. Jadi biar fokus ke kehidupannya dengan tenang dulu,” katanya lagi.
Ditanya tentang perancangan untuk menghasilkan karya seperti lagu khusus buat anaknya, Al memberitahu ringkas: “Ada perancangan tapi masih belum difikirkan.”